PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, merangkul kejuaraan Terbuka Slovenia 2024 hanya dua bulan selepas kembali beraksi secara kompetitif susulan rehat panjang akibat kecederaan.
Pemain berusia 20 tahun itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain Indonesia, Prahdiska Bagas Shujiwo, dengan skor 19-21, 21-11, 21-15 dalam perlawanan akhir di Dras Center, Maribor.
Justin, yang kini menduduki ranking ke-179 dunia, adalah pemain kedua Malaysia yang merangkul gelaran perseorangan lelaki pada kejohanan itu, selepas kemenangan Ramdan Misbun pada tahun 2013.
Sebelum itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur ini terpaksa berehat selama lapan bulan akibat kecederaan tendon Achilles pada April tahun lalu.
Tidak lama selepas kembali daripada pembedahan, dia cedera di lutut kanan pada November dan terlepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 di Setia Alam pada Februari, yang mengakibatkan ranking dunianya jatuh daripada 50 teratas kepada bawah 200.
Bagaimanapun, dia berjaya bangkit dan kembali beraksi secara kompetitif dalam Cabaran Antarabangsa Toyota di Thailand dari 26 hingga 31 Mac, dan kemudiannya membantu pasukan negara merangkul pingat gangsa Piala Thomas di Chengdu, China, sebelum bertanding di Slovenia.