KETUA Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Justin Lim menepis dakwaan yang beliau sudah meletakkan jawatan dan kini dalam proses perbincangan berkaitan isu pegangan saham dalam kelab.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan di laman sosial rasmi kelab, Justin juga menganggap ini adalah ‘learning curve’ buat dirinya yang baru berkecimpung dalam dunia bola sepak tempatan.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjalanan Melaka United dan mahu semua bergerak ke hadapan untuk mencipta kejayaan dan kegemilangan.

“Berhubung khabar angin yang menyatakan saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Melaka United, ingin saya nyatakan di sini bahawa ia adalah tidak benar.

“Tidak dinafikan, pada mulanya saya benar-benar kecewa apabila wujudnya isu berkaitan dengan pegangan saham kelab ini. Walaubagaimanapun, selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan dilakukan, kami telah mencapai kata sepakat dan kini sedang dalam proses penyelesaian bersama.

 

“Di sini juga saya ingin menyatakan yang saya kekal komited untuk terus menerajui Melaka United FC. Pencapaian kita sejak pengambilalihan kelab pada tahun lalu juga boleh dibanggakan dan saya percaya pasukan tahun ini lebih baik dan mampu mencipta lebih banyak kejayaan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

“Saya merupakan ahli perniagaan yang masih baru di dalam industri bola sepak. Sudah pastinya saya tidak terlepas untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ini merupakan ‘learning curve’ untuk saya membawa kelab ini ke tahap lebih baik dari sebelum ini. Saya sentiasa beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah dan tidak pernah lari dari tugas saya.

“Kelab Bolasepak Melaka United menghargai sokongan dan kesabaran para peminat, penaja, Kerajaan Negeri Melaka, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan semua pihak berkepentingan. Ini adalah pemangkin semangat kepada kami untuk kita terus bergerak ke hadapan,” tulis kenyataan itu.

Berita ini pastinya satu berita yang baik buat Melaka United dan akan menjadi pendorong buat para pemain untuk menunjukkan aksi yang baik apabila turun menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim pada Isnin.