CORAK latihan keras yang menerapkan disiplin tinggi bukan masalah buat perseorangan lelaki negara, Justin Hoh yang menekankan peningkatan prestasinya untuk menyaingi kelompok elit badminton dunia.

Begitulah harapan pemain yang menghuni ranking ke-48 dunia apabila berbicara mengenai calon ketua jurulatih perseorangan lelaki yang bakal dipilih Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bekas juara remaja Asia itu percaya corak latihan yang berteraskan disiplin mampu mengembalikannya ke prestasi terbaik selepas dia banyak bergelut dengan masalah kecederaan sebelum ini.

Bagaimanapun, Justin tidak meletakkan sebarang sasaran dalam baki kejohanan musim ini, kerana dia akan memberi sepenuh tumpuan pada saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun depan.

Justin Hoh mahu menyaingi pemain antarabangsa seangkatannya.

“Pertama sekali, siapa sahaja (ketua) yang jadi jurulatih nanti, diharapkan beliau boleh membantu saya untuk naik ke tahap lebih tinggi. Selain itu, saya juga berharap kami boleh saling mempercayai.

“Berhubung dia seorang yang bagaimana, saya lebih suka jika jurulatih itu menerapkan elemen disiplin. Setiap jurulatih ada kelebihan masing-masing, saya harap boleh belajar sesuatu daripadanya,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Ketika ini, BAM belum melantik ketua jurulatih bagi mengendalikan skuad perseorangan lelaki dan wanita dengan beberapa nama dikaitkan dengan jawatan tersebut selepas rombakan dibuat awal bulan lalu.

Antara nama disebut-sebut bakal dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan ABM adalah bekas ketua jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen dan Mulyo Handoyo yang pernah melahirkan legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat.

Sementara itu, Justin mahu mengejar pemain-pemain seangkatan dengannya seperti Alex Lanier dari perancis yang sudah mampu mencabar pemain ternama.

“Memang benar pemain-pemain seangkatan dengan saya sudah berada di kemuncak prestasi tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa kerana ada kecederaan. Oleh itu, saya memilih untuk bergerak tahap demi tahap,” ujar Justin.