GERGASI Serie A, Juventus telah dijatuhkan hukuman potongan 15 mata dari mata liga yang diperolehi musim ini selepas didapati bersalah dalam siasatan kewangan sekaligus turun ke tangga ke-10 liga.

Lembaga Kewangan Serie A telah mendapati Juventus bersalah atas tuduhan melanggar akta keuntungan atas modal yang menyebabkan mata mereka perlu dipotong sebagai hukuman.

Pada awal musim ini kesemua Ahli Lembaga Pengarah kelab termasuk Pavel Nedved meletakkan jawatan sejurus siasatan terhadap kewangan kelab Old Lady itu bermula.

Siasatan itu melibatkan bayaran yang dilakukan kelab kepada para pemain mereka ketika musim 2020 dan 2021 ketika mereka bersetuju menerima potongan gaji ketika pandemik Covid-19 yang menjejaskan keseluruhan musim.

Sumber juga mengatakan bahawa siasatan ini adalah yang terbesar dalam sejarah kelab termasuk jika dibandingkan dengan skandal Calciopoli yang menyaksikan mereka diturunkan liga sebelum ini.

Permohonan Lembaga Kewangan Serie A untuk membuka semula kertas siasatan terhadap kelab ini telah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan Itali.

Pihak pendakwaan meminta potongan sembilan mata buat Juventus pada mulanya namun mereka telah dikenakan potongan 15 mata tetapi kelab masih boleh membuat rayuan.

Setelah memenangi kejuaraan Serie A selama sembilan tahun berturut-turut, skuad Old Lady tidak mempunyai sebarang kejuaraan pada dua musim terakhir dan kelihatan sukar untuk melakukannya musim ini.

Sebelum hukuman ini dikenakan, Juventus sudah pun ketinggalan 10 mata dibelakang pendahulu, Napoli yang baru-baru ini menewaskan mereka 5-1 dalam pertarungan empat tempat teratas.

Jika hukuman ini berjaya dirayu sekalipun, mereka kelihatan sukar untuk mencabar AC Milan, Inter Milan, Lazio, Atalanta dan Roma untuk slot ke Liga Juara-Juara UEFA musim hadapan.