PENGENDALI Juventus, Thiago Motta, berang selepas pasukannya tersingkir daripada suku akhir Coppa Italia musim ini susulan kekalahan mengejutkan kepada Empoli. Baginya, prestasi Bianconeri dalam perlawanan tersebut amat memalukan.
Beraksi di Stadium Allianz pada awal pagi Khamis, Juventus yang diangkat sebagai pasukan pilihan dikejutkan dengan gol jarak jauh Youssef Maleh pada minit ke-24. Khephren Thuram menyelamatkan maruah tuan rumah menerusi gol cantik pada minit ke-66, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti.
Namun, dalam babak penentuan itu, hanya Randal Kolo Muani dan Manuel Locatelli berjaya menyempurnakan sepakan penalti, manakala Dusan Vlahovic dan Kenan Yildiz gagal. Sebaliknya, keempat-empat pemain Empoli tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Juventus, Mattia Perin.
Sepakan penalti Yildiz ditepis oleh penjaga gol Empoli, Devis Vasquez, sekali gus memastikan Juventus tersingkir daripada saingan. Selepas perlawanan, Motta gagal menyembunyikan kekecewaannya dan mempertikaikan semangat juang para pemainnya.
Thuram finds the back of the net for Juventus! A perfect finish that sends the fans into a frenzy! ⚽⚡
Video Courtesy : Coppa Italia#CoppaItalia #Juventus #KhéphrenThuram pic.twitter.com/pKJu1zKIML
— STARZPLAY | ستارزبلاي (@STARZPlayArabia) February 26, 2025
“Kami merasa malu. Sejujurnya, saya berasa amat malu dengan apa yang berlaku pada separuh masa pertama dan saya harap para pemain saya turut merasakan perkara yang sama. Kami tidak boleh bermain seperti ini. Ia memalukan dan jelas ia salah saya kerana saya tidak menunjukkan kepada mereka betapa pentingnya perlawanan ini atau apa erti menyarung jersi Juventus
“Kami tidak layak ke separuh akhir kerana kami tidak berhak berada di sana,” kata Motta kepada Mediaset.
Kekalahan ini menambahkan lagi tekanan buat Juventus yang kini berisiko menamatkan musim tanpa sebarang kejuaraan. Minggu lalu, mereka telah tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada PSV dalam perlawanan playoff.
Harapan untuk menjuarai Serie A juga semakin tipis kerana Juventus kini berada di tangga keempat dengan 49 mata, lapan mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan, dengan hanya 12 perlawanan berbaki.
“Saya harap akan ada kritikan keras. Para penyokong sebenarnya sudah cukup baik dengan kami, mengambil kira prestasi teruk kami di separuh masa pertama. Saya mahukan reaksi segera daripada para pemain kerana saya berasa malu dengan apa yang berlaku hari ini,” ujar Motta lagi.

Dua penalti yang gagal disempurnakan seolah-olah menjadi hukuman kepada prestasi yang mengecewakan.
Beliau juga mengakui bertanggungjawab atas kegagalan ini.
“Saya juga harus memikul sebahagian besar tanggungjawab kerana saya gagal mendidik mereka tentang erti menyarung jersi Juventus. Kami bermain menentang pasukan Empoli yang melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama mereka. Namun, kami bermain dengan mentaliti yang salah,” katanya.
“Kami beranggapan bahawa kami pasti akan layak, tetapi kami tidak memberikan segalanya di atas padang. Kami melakukan kesilapan terbesar yang tidak boleh diterima di kelab ini – sikap sambil lewa. Kami terlalu banyak melakukan hantaran ke belakang kepada penjaga gol, sekurang-kurangnya 20 kali, tanpa berusaha untuk menyerang ke depan. Ini tidak boleh diterima.
“Kami hanya boleh memohon maaf kepada penyokong kami, kepada kelab, dan kepada sejarah kelab ini, kerana hari ini kami benar-benar berada di tahap paling rendah,” tegasnya.
Kini, Juventus hanya tinggal saingan Serie A untuk diharungi hingga penghujung musim. Mereka bakal menerima kunjungan Hellas Verona dalam perlawanan minggu ke-27 pada 4 Mac ini.