PEMANAH Compound negara, Juwaidi Marzuki berjaya memperbaharui rekod kebangsaan yang diciptanya tiga tahun lalu, pada Piala Dunia memanah Antalya 2023 semalam.
Pada kejohanan itu, Juwaidi mengumpul 714 mata dalam acara 50 meter (m) selepas 72 panahan sekali gus membaharui rekod lamanya iaitu 709 mata yang dilakar di kejohanan memanah Asia 2019.
Bagaimanapun mata yang diraih Juwaidi itu tidak cukup buat dirinya untuk menaiki podium apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan ke lapan keseluruhan.
Tempat pertama kategori terbabit, pemanah Denmark, Mathias Fullerton yang meraih 717 mata diikuti Sawyer Sullivan (Amerika Syarikat) dan Roberto Hernandez (El Salvador) di tempat ketiga selepas masing-masing meraih 715 mata.
“Sangat seronok hari ini kecuali pada dua panahan terakhir yang sedikit susah bagi saya. Namun bagi saya untuk berada di tahap ini saya anggap ia sebagai satu bonus.
“Ranking kelapan dunia minggu ini di piala dunia dengan 714 mata… ia merupakan rekod baharu kebangsaan.
“Saya harap akan ada lebih banyak keputusan positif yang akan diraih selepas ini,” katanya, dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.