KETIKA perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mula tersenyum mendapat khidmat Wong Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, nampaknya pemain Hong Kong mula tidak keruan.
Pemain perseorangan nombor satu Hong Kong, Ng Ka Long Angus meluahkan rasa kecewanya di media sosial Instagram “ngklangus” yang berpendapat pemain negara itu dilanda badai sebaik kehilangan khidmat jurulatih yang melatih mereka sejak Jun tahun lalu.
Menurut Ka Long, pasukan Hong Kong kini dalam situasi sukar terutamanya ketika menghadapi beberapa kejohanan besar termasuk Sukan Asia Hangzhou 2023, September depan.
“Sekarang beliau (Tat Meng) meninggalkan kami dengan situasi hanya tiga bulan sebelum Sukan Asia. Beliau juga menyertai salah satu pasukan seteru utama Hong Kong.
“Beliau meletakkan kami dalam situasi janggal ketika ini,” kata Ka Long yang juga pemain ranking ke-14 dunia menerusi laman Instagram miliknya kelmarin.
Meskipun sudah mengetahui perkara itu seminggu lebih awal, namun keadaan tersebut meletakkan dia dalam keadaan tergamam dan masih sukar untuk menerima Tat Meng bakal meninggalkan kem badminton Hong Kong.
“Setiap orang ada impian mereka sendiri, Tat Meng memilih meletak jawatan dan menerima tugas melatih pemain negaranya sendiri, jadi kami tidak ada hak untuk menyekat kemahuannya.
“Saya percaya ramai peminat badminton tahu Zii Jia sudah mendapatkan khidmat Tat Meng sebagai ketua jurulatih. Ini bermakna jawatan ketua jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong perlu diisi,” ujarnya.
Ka Long kini sedang mengharungi cabaran Malaysia Masters.
Terdahulu, Zii Jia menerusi pasukannya, Team LZJ membuat pengumuman Tat Meng bakal menyertai pasukan itu sebaik sahaja urusan perpindahannya dari Hong Kong selesai, beberapa bulan selepas dia berpisah dengan bekas jurulatih, Indra Wijaya.