PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio gembira dengan corak permainan yang ditunjukkan para pemainnya dan kini bersedia untuk perlawanan separuh akhir.

Dia juga berpuas hati dengan cara permainan yang ditunjukkan oleh para pemain senior yang mampu untuk menentukan tempo permainan terutama pada babak kedua.

Bekas pemain antarabangsa Venezuela itu juga mengakui merehatkan beberapa pemain utama kerana tidak mahu mereka menerima kad kuning kedua kerana separuh akhir adalah sangat penting buat JDT.

“Pasukan bermain baik. Terdapat perbezaan dalam corak permainan apabila kami cuba bermain dengan laju dan apabila kami bermain dengan tergesa-gesa. Pemain lebih berfikir ketika bermain secara laju dan menunjukkan semangat yang baik dengan gerakan bola dan tekanan yang tinggi.

“Kad kuning adalah musuh kami. Jadi kami perlu menyimpan beberapa pemain kerana kami akan bermain dua perlawanan sukar di separuh akhir dan ianya penting buat kelab ini.

“Sejak dari awal mesej untuk semua pemain adalah untuk terus melakukan tekanan dan dapatkan gol yang banyak tetapi saya gembira kerana ada beberapa pemain senior yang pandai merencanakan rentak bagi memastikan kemenangan kepada kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

JDT kini bakal terbang ke Kota Kinabalu untuk menentang Sabah FC pada peringkat separuh akhir dan Hector kini akan mempersiapkan pasukan terutama proses pemulihan.