KETUA jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan terpaksa menelan kekecewaan sejurus tewas 0-2 kepada Selangor FC dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya, Sabtu malam.

Jelasnya, kad merah serta kealpaan benteng pertahanan yang agak leka merupakan punca mereka dihukum oleh pasukan Red Giants dalam perlawanan yang didominasi secara penuh anak buah Michael Feichtenbeiner.

“Keputusan perlawanan amat mengecewakan kerana kita kalah 2-0 tetapi kita tahu kita diasak oleh pasukan Selangor FC.

“Sedikit sebanyak saya tak nafikanlah kad merah itu telah mengucar-gacirkan apabila pemain belum settle down dan disitulah kita didera oleh pasukan lawan,” ujarnya kepada media selepas perlawanan.

Zainal juga memberitahu akan meneliti semula keputusan yang disifatkan agak kontroversi kerana pandangan mata kasar jurulatih tersebut mengatakan ianya adalah satu terjahan ringan namun pada pandangan pengadil perlawanan ia merupakan terjahan keras.

“Saya akan teliti balik kad merah itu kerana ianya soft tackle pada saya, tetapi Shukri telah menerima kad kuning yang kedua, dan ini membuktikan kegagalan kita untuk bertahan,” kongsinya.

Untuk perlawanan seterusnya, Penang FC akan beraksi di laman sendiri menentang kelab di puncak liga, Johor Darul Takzim.