KETUA Jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz mengakui kad merah menjadi ‘turning point‘ yang menyukarkan pasukannya untuk bangkit memberikan saingan dan terpaksa akur dengan kekalahan 4-2 di tangan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Selain kad merah, beberapa kesilapan individu juga menyumbang kepada kekalahan kedua berturut-turut dan kini berada di tangga ketujuh dengan 10 mata dari lapan perlawanan.

Dia juga sedar barisan serangan pasukannya kurang tajam dari segi jaringan gol dan mahu perkara ini diatasi segera kerana skuad Sang Saka Biru sedang berada dalam momentum yang baik.

“Tahniah untuk Penang keran berjaya mendapatkan tiga mata. Kad merah sememangnya menjadi punca dan ‘turning point‘ yang menyebabkan kami sukar untuk bangkit selain kesilapan individu yang menyebabkan kami dibolosi.

“Pemain sudah cuba untuk bangkit pada 10 minit terakhir dan itu menyumbang kepada berlaku lagi kesilapan yang menyebabkan Penang berjaya menambah dua gol untuk menjadikan kedudukan 4-2.

“Daripada awal kami memang ada isu ketajaman di hadapan gawang. Kalau kita melihat pada statistik, jaringan sangat tipis berbanding peluang yang dicipta. Pemain penyerang perlu lebih baik dalam perlawanan selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Azzmi juga optimis yang PDRM FC akan mencapai keputusan yang lebih positif jika bemain cukup 11 pemain dan kini akan fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam dua perlawanan berturut-turut.

“Jika kami kekal dengan 11 pemain, saya yakin kami akan mencapai keputusan yang positif dengan sekurang-kurangnya membawa pulang tiga mata. Kami bertemu dengan pasukan-pasukan yang kuat dan kami bermain baik cuma kegagalan sempurna peluang menyebabkan kami kehilangan mata,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.