PEMILIK pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk kelangsungan kelab Harimau Selatan.

Menurut Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor, bukan mudah nak menjaga kelab bola sepak kerana ianya seperti meletakkan banyak wang tetapi manfaat yang diperolehi semula sedikit sahaja.

“Dari segi tiket, merchandise dan penaja sekalipun Johor banyak syarikat antarabangsa, kolaborasi dan penaja tapi hakikatnya masih lagi bergelut.

“Jadi saya serta Kebawah Duli (Sultan Johor) terpaksa bawa keluar duit sendiri dan kadangkala benda itu cukup mengecewakan,” titah Tunku Ismail menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ di YouTube pada Ahad.

May be an image of 3 people, beard, television, newsroom and text that says "S UAR EJAF KS KELUAR SEKEJAP"

Sementara itu, Tunku Ismail akui sukakan idea penubuhan kelab JDT kerana menyatupadukan rakyat, memberikan mereka rasa kekitaan untuk bermegah berhubung asal usul membentuk identiti Johor dalam persada antarabangsa.

Pada masa sama, beliau mengakui berdepan tekanan daripada aspek kewangan dalam memastikan pengurusan Harimau Selatan beroperasi dengan sempurna.

“Dari segi tanggungjawab agak tertekan kerana menjaga kelab bola sepak, terutamanya apabila anda mempunyai pasukan, ia seperti mencari 32 bayi kaya yang manja.

“Saya berterus-terang, saya tak peduli jika ada mana-mana pemain saya nak terasa. Inilah kebenaran.

“Ia tidak pernah cukup. Mereka sentiasa mahukan lebih dan lebih lagi. Tiba masanya, mereka tidak berasa puas dengan sesuatu yang anda lihat, pada zahirnya setiap kelab kelihatan baik tetapi di sebalik pintu tertutup, ia tidak mudah.

“Jujurnya, tekanan dalam segi kewangan sangat berat dalam bola sepak di negara kita. Contohnya Kedah tak bayar gaji tiga bulan, Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.

May be an image of 5 people, people playing football, people playing American football and text

Begitupun, Tunku Ismail menegaskan beliau tidak boleh berada dalam industri bola sepak untuk selama-lamanya apabila menegaskan setiap perkara akan berlaku pengakhiran.

Biarpun begitu Tunku Ismail sekali lagi menjelaskan sebagai pemilik Harimau Selatan, beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu.

Tunku Ismail berkemungkinan akan mengubah pendekatannya dalam menguruskan kelab paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia tersebut selepas ini.

Jelas bahawa apa yang diperkatakan oleh beliau ada benarnya untuk membangunkan sesuatu kelab bola sepak itu perlukan modal yang besar dan sikap ikhlas harus ada dalam lubuk diri.

“Saya berterima kasih kepada ‘haters‘ dan para pesaing saya kerana tanpa mereka, saya rasa dah lama tiada dalam bola kerana tiada saingan.

“Dengan sikap tidak percaya mereka terhadap projek JDT ini, saya rasa lebih ingin bersaing untuk memiliki lebih daripada apa yang sudah ada sekarang ini,” ujarnya.