PEMENANG bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) tahun 2023 akan diumumkan secara rasmi dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa, kaedah pengumuman pemenang kali ini mempunyai sedikit perbezaan daripada yang telah dilakukan pada musim sebelum ini.

Semasa pengumuman pemenang ABK tahun lalu, orang ramai boleh menyaksikan secara langsung di laman rasmi Facebook Malaysian Football League dan UnifiTV, tetapi mungkin mereka akan menggunakan platform berbeza tahun ini dan belum ada keputusan rasmi dinyatakan oleh pihak MFL.

“Kita akan mengumumkan secara rasmi untuk pemenang ABK bersama penyiar kami, kita juga adakan pengumuman ini dengan cara berbeza seperti musim sesebelumnya.

“Hal ini kerana, terdapat kekangan masa pada pemain pasukan kebangsaan, dengan pre season, post season, kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.

Pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsan (ABK) 2023 akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kita akan membuat pengumuman rasmi mengenai ABK dalam beberapa hari sahaja lagi,” ujar Stuart dalam satu sidang media baru-baru ini.

Objektif utama penganugerahan ini dijalankan adalah untuk memberi tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa yang diberikan oleh para pemain, jurulatih, pasukan, pegawai dan kelab penyokong terbaik sepanjang musim perlawanan liga bola sepak Malaysia musim 2023.

Anugerah yang paling dinantikan semestinya dalam kategori pemain paling bernilai (MVP), dimana sebelum ini, Ariff Aiman Hanapi telah menerima gelaran tersebut pada ABK tahun 2022.

Nama pemain sensasi tersebut masih tersenarai dalam calon MVP musim ini, dan tidak mustahil untuk dirinya terus mengukuhkan posisi pemenang anugerah pemain paling bernilai yang akan diberikan oleh pihak MFL.