PEMAIN sayap Selangor FC, Faisal Halim pernah terfikir untuk berhenti bermain bola sepak dan pulang ke kampung demi keselamatan dirinya dan keluarga ketika mula-mula menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei 2024.

Selepas 39 hari daripada tragedi disimbah asid, Faisal muncul di hadapan media dengan menegaskan semangat daripada penyokong bola sepak serta jaminan yang diberikan oleh kelab menyebabkan dia membatalkan hasrat itu dan sudah tidak sabar untuk kembali berlatih.

Malah Faisal juga memberitahu bahawa ahli keluarga dan rakyat Malaysia sebagai pemangkin semangat untuknya pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa sebagai anak, suami, bapa dan pemain bola sepak.

Faisal pertama kali muncul di hadapan media selepas insiden disimbah asid Mei lalu.

“Pada awalnya saya pernah terfikir untuk bersara tetapi semangat dari orang ramai dan jaminan dari kelab buatkan saya mahu kembali dan teruskan karier dalam bola sepak.

“Saya amat rindukan bola sepak, kaki menggigil, hati meronta tetapi buat masa kini keselamatan saya dan keluarga menjadi keutamaan dan mahu pulih sepenuhnya daripada kecederaan ini.

“Saya sanggup lupakan gaji berpuluh ribu dan pulang ke kampung untuk tinggal dan kerja di sana walaupun gaji RM50 sehari demi keselamatan saya dan keluarga,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC.

Faisal yakin dia akan kembali ke padang tidak lama lagi dengan sokongan keluarga, kelab dan semua penyokong bola sepak tempatan.

Pemain kebangsaan itu juga berkongsi detik-detik ketika dia menjalani rawatan di hospital dan mengakui sokongan daripada keluarganya adalah sumber kekuatan utama buat dirinya pulih dan kembali semula bermain bola sepak.

“Saya tidak boleh makan atau ke ‘toilet’ sendiri dan semua perlukan bantuan terutama isteri dan keluarga saya. Mereka bergilir-gilir datang pantau dan menjaga saya. Semangat keluarga saya itulah saya bawak untuk kekal bersemangat.

“Saya letak target kembali berlatih dalam masa sebulan setengah walaupun doktor katakan saya perlu 3-6 bulan lagi. Ini semangat Faisal Halim dan saya akan bawa semangat ini untuk kembali,” jelasnya bersemangat.