“KALAH tidak semestinya kalah selamanya,” itulah pesanan ketua pasukan Skuad B-19 Wanita Kebangsaan, Amirah Rahman kepada para penyokong meskipun skuad negara tersingkir awal dalam saingan Kejuaraan Wanita AFF B-19 2023 di Palembang, Indonesia.

Amirah turut yakin pasukan ini kini berada di landasan tepat apabila mereka berjaya menewaskan Singapura 1-0 tetapi kemudian tewas 6-0 kepada Vietnam pada perlawanan kedua sekaligus menyebabkan mereka tersingkir kerana perbezaan gol.

“Alhamdulillah kami dapat kemenangan ketika menentang Singapura, tapi terpaksa akur apabila menentang Vietnam tetapi kalau tengok pada perlawanan tersebut, kami bermain dengan cukup baik namun nasib tidak menyebelahi.

Amirah Rahman

“Kami terhilang fokus sikit terutama apabila kami mereka ‘down’ lepas dibolosi dan untuk kembali menaikkan semangat itu kami jadi kelam kabut membuatkan kami dibolosi sekali lagi,” katanya yang mahu membuktikan bola sepak wanita mempunyai masa depan.

Sementara itu penjaring tunggal negara, S. Thivashini menjelaskan bahawa faktor kurang pengalaman menjadi salah satu punca mengapa pasukan ini tersingkir awal berdasarkan pengalamannya bermain bersama skuad senior Malayan Tigress.

“Perbezaan ketara adalah pengalaman, sebab skuad senior sudah bermain banyak kejohanan berbanding skuad B-19 yang baru sahaja dibentuk dan corak permainan juga berbeza namun saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Cameron walaupun pernah beraksi bersama Soleen Al-Zoubi,” katanya.

S. Thivashini

Thivashini turut berkongsi perasaan bangga yang dirasakan apabila dapat menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Singapura dan berharap akan terus menjaringkan gol selepas ini.

Amirah dan Thivashini masing-masing akan kembali ke tugasan kelab dimana Amirah akan beraksi buat Kelana United FC manakala Thivashini akan mewakili SSMP (Sekolah Sukan Malaysia Pahang) yang akan bersaing di Liga Wanita Nasional (LWN) bermula 29 Julai 2023.