PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak terkilan dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia dan kini hanya mahu menumpukan perhatian kepada perlawanan timbal balik di Kuantan pada 24 September.

Dia turut mengakui bahawa ianya adalah satu perlawanan yang sukar dengan pemain-pemain KL City kelihatan selesa dengan bola dan pemainnya sedikit tertekan pada 15 minit pertama perlawanan.

“Ianya perlawanan yang sukar kerana mereka hadir dengan baik pada 10 minit pertama tetapi kami berjaya menyerap tekanan selepas itu. Para pemain saya masih ragu-ragu pada babak pertama dan kami akan berubah pada perlawanan kedua nanti.

“Kuala Lumpur adalah pasukan yang mantap dan kami perlu kerja keras di Kuantan dan perlu memburu gol awal untuk elak perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan Singapura itu juga tidak mahu meletakkan kekalahan ini keatas kesilapan pertahanan kerana dia yakin dengan kemampuan pemainnya untuk bangkit pada aksi timbal balik nanti.

“Apa yang terjadi gol sudah pun terhasil dan kami perlu positif untuk perlawanan akan datang. Satu gol itu mungkin boleh jadi kemenangan mereka tetapi kami perlu kejar awal di Kuantan dan peluang untuk kami masih terbuka dan saya yakin dengan pemain-pemain saya,” jelasnya.

Fandi juga sedar taktikal bertahan yang mungkin digunakan KL City dalam aksi kedua dan dia berharap akan ada ‘individual brilliance‘ yang boleh mengubah keputusan perlawanan meskipun sedar ianya bukan tugas yang mudah.

“Ya kami sedar kerana selepas mereka jaringkan gol mereka mula bertahan. Dengan 10 pemain di belakang, sukar untuk kami menyerang tetapi kami akan cuba atasi perkara ini dlm perlawanan selepas ini.

Individual brilliance‘ memang diharapkan dalam perlawanan seperti ini dan kami akan cuba yang terbaik meskipun sedar ianya bukan mudah,” katanya.