SELANGOR FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 0-0 menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2024/25 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi meraih tiga mata penting dengan Selangor mahu mengukuhkan kedudukan di tempat kedua, manakala Sabah yang berada di tangga ketiga berusaha merapatkan jurang mata.

Separuh masa pertama menyaksikan aksi seimbang, dengan kedua-dua pasukan mencatatkan empat percubaan tepat ke arah gol. Namun, kecemerlangan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz dan Damien Lim memastikan gawang masing-masing terus kebal.

Kalamullah menafikan sepakan penalti pasukan pelawat.

Detik mendebarkan hadir pada minit ke-76 apabila Sabah dianugerahkan sepakan penalti selepas Saddil Ramdani dijatuhkan dalam kotak penalti. Darren Lok tampil sebagai penendang, namun Kalamullah berjaya menepis percubaannya, menggagalkan usaha pelawat untuk memecah kebuntuan.

Meskipun kedua-dua pasukan terus berusaha mencari jaringan sehingga wisel penamat, keputusan kekal 0-0.

Dengan keputusan ini, Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 43 mata, manakala Sabah di tempat ketiga dengan 35 mata. Seterusnya, Sabah akan berdepan Terengganu pada 7 Mac, manakala Selangor bakal menentang Kuching City pada 16 Mac.

Foto:  MFL