PENJAGA gol Kedah Darul Aman FC, Kalamullah Al-Hafiz menganggap banyak nama yang dikaitkan untuk menyarung jersi nombor satu kebangsaan adalah perkara yang baik untuk skuad Harimau Malaya kerana semua penjaga gol berada pada tahap prestasi yang baik.

Dia yang beraksi cemerlang ketika membantu Sang Kenari menewaskan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu juga bersyukur kerana kembali diturunkan dan bersedia sekiranya namanya kembali dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya.

“Saya sentiasa bersedia untuk dipanggil ke skuad kebangsaan meskipun banyak nama dikaitkan tetapi pada saya ianya perkara yang baik untuk skuad negara kerana semua penjaga gol berada pada prestasi terbaik dan apa yang penting bagi saya adalah hanya tumpukan perhatian pada aksi saya apabila diberikan peluang bermain.

“Syukur dapat peluang untuk bermain malam ini dan dapat ‘clean sheet‘ lepas tiga perlawanan saya tidak bermain. Semua pemain beri 100 peratus jadi kami berjaya menepati sasaran untuk mendapat tiga mata penuh,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Kalamullah juga mengakui tempoh rehat yang agak panjang menyebabkan mereka tewas kepada Kuching City FC pada aksi suku akhir pertama Challenge Cup dan kini akan kembali fokus kepada semua saingan yang disertai selepas ini.

“Kalau ikutkan masa lawan Kuching City, mungkin faktor lama sangat berehat menyebabkan kami tewas dan kini kembali serasi selepas satu perlawanan dan kini akan fokus kembali untuk aksi menentang timbal balik di Challenge Cup.

“Semua kejohanan yang kita sertai adalah penting dan jurulatih mahu kami kekal fokus dalam setiap perlawanan sama ada Liga Super mahupun Challenge Cup untuk musim ini,” katanya dengan yakin.

Kedah ketinggalan 1-0 kepada Kuching City menerusi aggregat dalam pertandingan Challenge Cup dan pastinya mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencipta kemenangan seterusnya layak ke separuh akhir.