LEGENDA Brazil, Ronaldo Nazario menyatakan pendirian bahawa tidak mungkin memilih Argentina sebagai pilihan menjulang Piala Dunia, sebaliknya menamakan Perancis akan mempertahan kejuaraan itu.
Selepas menyaksikan pasukan kebangsaannya tersingkir dari Qatar 2022 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia, di peringkat suku akhir, Ronaldo perlu memilih pasukan lain namun dia enggan sama sekali memilih Argentina.
Lionel Messi mungkin berpeluang kali terakhir untuk menjulang satu-satunya trofi yang tiada dalam koleksinya, namun Ronaldo tidak akan menyokong negara Amerika Selatan itu pada separuh akhir menentang Croatia awal pagi esok.
“Saya tidak mahu menjadi hipokrit dan berkata saya gembira buat Argentina jika mereka memenangi Piala Dunia,” kata Ronaldo.
“Bagi saya, bola sepak ini romantik. Saya tetap akan menghargai mana-mana pasukan sebagai juara.
“Sejak awal, ramalan saya sentiasa Brazil dan Perancis di final,” kata pemenang Piala Dunia dua kali itu kepada media di Doha.
“Brazil sudah tiada di sana. Tetapi Perancis, perlawanan demi perlawanan, kembali mengukuhkan status mereka sebagai pilihan dan saya masih melihat mereka sebagai pilihan utama.”
Pada final Piala Dunia 2002, Ronaldo menjaringkan kedua-dua gol ketika Brazil menentang Jerman, menjangkakan Perancis akan mengatasi pasukan kejutan di separuh akhir, Maghribi awal pagi Khamis ini.
“Kalau boleh saya mahu Maghribi menang, tapi saya tidak rasa mereka boleh. Saya fikir Perancis mempunyai satu pasukan yang amat mantap, sama ada di pertahanan, serangan mahupun tengah,” kata pemenang dua kali Anugerah Ballon d’Or itu.
Ronaldo terutamanya terpikat dengan persembahan Kylian Mbappe, pendahulu penjaring gol terbanyak kejohanan di Qatar dengan lima gol.
“Dia tahu bagaimana untuk menggunakan kemahirannya, bagaimana untuk mengatasi pemain lain dengan kepantasannya. Dia juga menggunakan kelebihan itu untuk mengumpan atau menjaringkan gol,” kata Ronaldo, yang menjangkakan pemain berusia 23 tahun itu mampu memecah banyak rekod.
“Dia mempunyai masa, kemahiran, dia dahagakan kejayaan dan dia mempunyai bakat untuk menguasai semuanya, itu sudah pasti.”
Memuji persembahan Maghribi selepas pasukan bergelar Atlas Lions itu muncul pasukan pertama Afrika layak ke separuh akhir Piala Dunia dan pasukan pertama Arab melakukannya, dia berasa edisi kali ini menakjubkan.
“Ia satu sejarah hebat bola sepak apabila sebuah negara Afrika beraksi pada separuh akhir Piala Dunia,” katanya.
“Saya lihat reaksi di Maghribi, apa yang bola sepak dapat berikan kepada kita amat mengagumkan.” – Agensi