TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menyatakan dia akan memberikan sokongan yang penuh kepada skuad Harimau Malaya sekiranya mereka beraksi dalam perlawanan yang diletakkan dalam kalendar antarabangsa Fifa.

Sebelum ini Tunku Ismail tidak melepaskan pemain-pemain utama JDT menyertai skuad kebangsaan ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 kerana kejohanan itu berada di luar kalendar antarabangsa Fifa yang tidak mewajibkan kelab melepaskan pemain.

Tunku Ismail turut berbesar hati memberikan skuad kebangsaan menggunakan fasiliti latihan dan Stadium Sultan Ibrahim untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya pada 23 dan 28 Mac 2023.

“Saya kalau dalam kalendar Fifa saya sentiasa izinkan dan saya akan beri sokongan sepenuhnya. Tetapi kalau tidak ada dalam jadual Fifa bagi saya, orang yang membayar gaji pemain, saya rasakan benda itu tidak ada faedah dan membuang masa

“Jika kejohanan Fifa saya bukan sahaja melepaskan pemain tetapi saya juga bersedia menawarkan pasukan kebangsaan apa juga teknologi dan fasiliti yang ada di JDT. Mereka boleh gunakan pusat latihan kami di Padang Seri Gelam.

“Untuk membantu skuad kebangsaan, saya memang positif dari awal hingga ke hari ini dan seperti yang saya katakan untuk perlawanan dalam kalendar Fifa, kami akan lepaskan pemain dan berikan segala program latihan kepada mereka,” katanya kepada media.

 

Tunku Ismail ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu yang bakal menyaksikan stadium terbesar negara itu bakal menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia yang lebih baik dan berdaya tahan.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon bakal memulakan latihan pada Sabtu dengan semua 27 pemain melaporkan diri di Johor Bahru bagi menghadapi dua aksi di Stadium Sultan Ibrahim menentang Turkmenistan dan Hong Kong.