TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mahukan penilaian yang lebih adil diberikan kepada pemain- pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan.

Sebelum ini kecoh di laman sosial dengan pandangan penyokong yang menyelar tindakan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon yang memilih ramai pemain yang dikatakan tidak mempunyai cukup minit permainan.

Namun andaian ini ditepis TMJ yang menyatakan pemilihan pemain ke skuad kebangsaan bukan hanya berdasarkan minit permainan sahaja tetapi juga kualiti latihan dan persiapan serta teknologi dan kualiti yang ada pada pemain itu sendiri perlu diambil kira.

“Daripada dulu saya katakan ya minit permainan mustahak bukan tidak mustahak langsung tetapi latihan dan persiapan itu juga amat mustahak. Teknologi dan intensiti dalam latihan dan juga kualiti pada pemain itu sendiri.

“Jikalau hendak betul-betul mahu bercakap soal minit, kenapa tidak ambil semua pemain Kuching City FC ataupun PDRM. Mereka semuanya ada minit. Jadi kalau hendak bercakap soal minit sahaja, bagi saya tidak masuk akal kerana sepatutnya perlu ada penilaian yang lebih adil berkenaan bukan sahaja minit tetapi juga kualiti yang ada pada pemain itu.

“Kita boleh tengok Akhyar Rashid pun tidak mempunyai minit yang banyak dengan JDT, tetapi bila masuk dia memberikan sumbangan yang begitu hebat kepada Harimau Malaya.

“Ini kerana kami sudah biasa bermain dengan sistem yang ada untuk beberapa tahun. Jadi bagi saya kalau jurulatih yang bijak dia harus ambil kesempatan ini untuk menggunakan sistem yang ada di JDT serta teknologi dan latihan di JDT dan terapkan pada pasukan kebangsaan kerana mereka ini sudah bermain bersama begitu lama dan tahu bagaimana sistem yang perlu dimainkan,” katanya dalam satu temubual yang disiarkan JDTTV.

Tunku Ismail juga menyebut berkaitan kualiti pemain yang dipanggil dalam skuad kebangsaan dan menjelaskan pemain JDT sedia diturunkan pada bila-bila masa kerana sudah melalui latihan dengan intensiti yang tinggi.

“Bukan sahaja minit sahaja yang mustahak. Kalau nak minit, pemain Penang semua bermain 90 minit kenapa tidak ambil pemain Penang wakil skuad kebangsaan. Jadi kalau anda mahukan kualiti, pemain JDT ada kualiti tersebut dan dengan latihan yang mereka terima, mereka bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk beraksi,” tambahnya.

Untuk perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mac yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, 12 pemain JDT dipanggil ke skuad kebangsaan dan berjaya mempamerkan aksi cemerlang meskipun ada yang kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama di peringkat kelab.