PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan sukar untuk para penyokong melihat Arif Aiman Hanapi diserap ke dalam skuad B-23 tahun kebangsaan untuk menghadapi Piala Asia B23 di Qatar pada April.

Ini kerana secara tradisinya dalam bola sepak, pemain muda yang sudah mewakili skuad senior sukar untuk kembali bermain bersama skuad muda namun dia menyerahkan segala keputusan kepada pengendali, Juan Torres Garrido

Hamidin juga menyatakan dia masih menunggu senarai akhir pemain daripada Garrido sebelum membuat pengumuman rasmi menjelang kem latihan pusat pada Mac 2024.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

“Nanti kita tengok dulu senarai daripada jurulatih. Akan tetapi, pada pandangan saya, kalau di Eropah, pemain yang dah bersama skuad senior tidak lagi beraksi buat pasukan junior.”

“Ini juga berkaitan semangat dia. Kalau semua perlawanan dia pergi, dia akan pengsan,” tegasnya ketika ditemui di Majlis Townhall Bola Sepak Wanita di Petaling Jaya pada Isnin.

Arif, pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia dua kali itu adalah antara tonggak penting yang membantu Malaysia di Piala Asia 2023 dengan jaringannya memastikan Harimau Malaya membawa pulang satu mata selepas mengikat Republik Korea.

Arif Aiman Hanapi (no.12) diraikan ketika menjaringkan gol pertama buat skuad senior kebangsaan

Skuad B-23 tahun kebangsaan diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam dengan tiga pasukan terbaik yang ke peringkat separuh akhir akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 .