GANDINGAN Chia Weijie-Liew Xun yakin tidak akan berdepan tekanan besar sekiranya sekali lagi diturunkan selaku beregu kedua, berdepan Thailand pada Rabu.

Gandingan muda itu berkata, jika turun beraksi ketika pasukan negara ketinggalan 0-2 sekalipun, mereka akan memberikan aksi terbaik untuk menyumbang mata kepada pasukan negara.

“Kalau turun dan ketinggalan esok, kami tidak tertekan dan akan beri aksi terbaik untuk kalahkan Thailand,” ujar Liew Xun.

Pada pertemuan menentang Vietnam, skuad negara menang 3-1, dan Chia Weijie dan Liew Xun mempamerkan aksi terbaik untuk menghadiahkan mata kemenangan ketika skuad negara mendahului 2-1.

“Perlawanan hari ini (menentang Vietnam) lebih kepada pertarungan psikologi dan esok juga sama,” kata Chia Weijie.

Sementara itu, pemain nombor ke-64 dunia, Leong Jun Hao yang menjadi sandaran bagi menghadiahkan mata pertama dijangka berdepan tugas sukar berhadapan perseorangan utama Thailand Sitthikom Thammasin yang menghuni ranking ke-34 dunia.

“Beraksi dalam kejohanan begini mesti ada tekanan sebab satu negara harapkan kita, contohnya saya dan Lee Shun Yang, jika ada perlawanan pasti kami berdua diturunkan dan perlu hadiahkan mata.

“Apapun, di mana-mana kejohanan sekalipun, akan ada tekanannya, yang penting kurangkan daripada melakukan kesilapan,” kata Jun Hao.

Pada aksi suku akhir, Thailand mudah mengatasi Kemboja 3-0.