TIGA pingat diimpikan pasukan berbasikal bukit negara di Temasya Sukan Sea Kemboja, Mei depan, sekali gus menjanjikan sumbangan mereka kepada kontinjen negara berterusan selepas pencapaian di Vietnam pada temasya 2021.

Mana tidaknya, selepas menyumbang satu emas di Sukan SEA Vietnam 2021, mereka mendapat pengiktirafan apabila buat kali pertama diterima menyertai Program Podium bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Bukit Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, penyertaan dalam Program Podium ini sudah pasti menjadi tonik berharga buat mereka untuk tampil mempertahankan kilauan pingat sama pada edisi ke-32 di Kemboja.

“Program Podium ini adalah kali pertama untuk berbasikal bukit. Kita mempunyai empat atlet, iaitu dua lelaki dan dua wanita daripada Sukan SEA Vietnam lalu yang membuahkan hasil satu emas.

“Selepas ini, kita akan teruskan dengan penyertaan ke kejohanan pendedahan di luar negara dan selepas itu menyertai Sukan SEA,” kata Saiful.

Mohd Saiful Abdul Jalil mahu empat lagi atlet berbasikal bukit masuk ke Program Podium sebagai persediaan mengganti atlet yang agak berusia.

Empat atlet yang mewakili negara di Hanoi sebelum ini adalah Nur Assyira Zainal Abidin, Natahsya Soon, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Zulfikri Zulkifli dengan gandingan mereka membutirkan emas dalam acara cross country berpasukan campuran.

Selain emas, skuad berbasikal bukit turut membawa pulang satu perak menerusi Nur Assyira dalam acara cross country wanita manakala Natahsya meraih gangsa dalam acara sama.

“Empat atlet ini akan kekal (dalam program) dan kita membuat cadangan penambahan empat lagi atlet ke dalam program Podium yang merangkumi dua lelaki dan dua wanita untuk membantu.

“Ini kerana di Sukan Sea Kemboja, kita menyertai tiga acara, antaranya Olimpik lelaki dan wanita dan team relay.

“Kalau boleh, kita nak kekalkan emas yang kita dapat (di Hanoi) di Kemboja dan dalam masa sama, kita dalam proses mencari atlet pelapis kerana atlet yang ada pada masa ini sudah menjangkau usia.

“Untuk Sukan Asia nanti, mungkin kalau kita dapat pencapaian yang baik di Sukan SEA (Kemboja) kita akan kekalkan atlet sama untuk Asia pula. Untuk Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), kita akan pilih pemenang daripada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu dan wakil negeri yang terbaik,” katanya lagi

Dalam pada itu, Saiful berkata, pasukan turut akan menjalani latihan di Ranau, Sabah sebagai persiapan mempertahankan emas di Phnom Penh.