KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon masih lagi yakin skuad negara mampu untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Beliau berkata demikian selepas Malaysia berjaya seri 1-1 menentang White Falcons di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada Khamis.
Malaysia kini telah mengumpul tujuh mata manakala Kyrgyzstan yang berada di tempat kedua mempunyai 10 mata serta perbezaan jaringan gol yang besar.
Pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan bahawa mereka mampu mencipta keajaiban pada perlawanan akhir nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya sedar Malaysia memerlukan jaringan besar dan Kyrgyzstan mempunyai kelebihan lebih lapan gol dalam carta kumpulan.
“Kami mempunyai kelebihan apabila beraksi di laman sendiri. Bukan mudah untuk pasukan pelawat beraksi di SNBJ. Kami akan berjuang sehingga ke saat akhir. Itu yang paling penting.
“Kami akan cuba menjaringkan lebih lapan gol di Bukit Jalil (lawan Chinese Taipei) kerana kami juga ada kelebihan di laman sendiri.
“Jika Kyrgyzstan tewas kepada Oman dengan keputusan 2-0, manakala kami mampu untuk menjaringkan lebih dari tujuh gol, maka kami yang akan layak. Jangan lupa bahawa kamu bolos empat gol di sana,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Kim Pan-gon juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jaringan Kyrgyzstan kerana terdapat insiden bola terkena tangan pemain semasa pembinaan serangan menuju ke gol pembukaan perlawanan.
“Kami memulakan permainan dengan sangat baik, tetapi sangat sukar untuk menerima gol pertama (Kyrgyzstan), saya fikir ia sepatutnya tidak dikira kerana bola terkena tangan. Ia adalah situasi yang sangat sukar, tetapi kami cepat kembali kepada kedudukan 1-1, itu yang bagus.
“Pada babak kedua, kita cuba menekan lawan dengan lebih baik. Apa-apa pun boleh terjadi tetapi saya menghargai usaha pemain untuk berjuang malam ini. Saya juga menghargai usaha para peminat Malaysia yang datang ke sini memberi sokongan,” tambahnya lagi.
Pasukan Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan terakhir kelayakan di laman sendiri dengan bertemu Chinese Taipei pada 11 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.