PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak menyembunyikan kekecewaan apabila tewas 1-5 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan menyifatkan ini adalah antara persembahannya terburuk yang pernah ditunjukkan.

Dia juga tidak faham mengapa para pemainnya gagal tampil dalam perlawanan ini seolah-olah sudah meraikan Hari Raya Aidilfitri terlalu awal namun dia menerima hakikat bahawa Selangor adalah pasukan yang lebih baik secara keseluruhan.

Steinbruckner juga tidak bimbang apabila Terengganu masih gagal mencatatkan kemenangan di laman lawan dan dia sudah mengenalpasti kelemahan utama yang ada pada pasukan dan akan mengatasinya menjelang jendela perpindahan kedua pada Julai.

“Tiada apa yang boleh diperkatakan lagi selepas tewas dengan lima gol. Dalam lapan perlawanan sebelum ini kami hanya bolos enam gol tetapi dalam perlawanan ini kami melepaskan sehingga lima gol. Saya kecewa kerana kebanyakan gol adalah berpunca dari kesilapan pemain. Selangor mempunyai pemain berkualiti yang akan hukum kami akibat kesilapan individu.

“Kami bagaikan sambut Hari Raya lebih awal. Pemain umpama tidak hadir dalam perlawanan ini. Saya cuba lakukan beberapa perubahan pada babak kedua dan Ivan Mamut dapat jaringkan gol. Pasukan yang lebih baik menang dan mereka berhak meskipun sukar melupakan kekalahan besar ini.

“Selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan, kami tewas kesemua perlawanan di tempat lawan kerana kesilapan individu kecuali ketika menentang JDT dan ini terjadi kerana pemain hilang fokus dan pada perlawanan ini, kami sangat teruk,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bekas pengendali T-Team itu juga tidak menolak kemungkinan kelab mahu mendapatkan khidmat Safawi Rasid yang dikhabarkan mahu pulang semula ke Malaysia pada jendela perpindahan kedua kerana kualiti yang ada pada pemain itu

“Sudah tentu kami berminat dengan beberapa pemain pada jendela perpindahan nanti terutama Safawi Rasid yang mempunyai kualiti sangat baik dan dia juga pernah bermain dengan saya ketika di T-Team pada 2015,” tambahnya.

Dengan kekalahan itu, Terengganu kekal di tangga keenam dengan 13 mata selepas sembilan perlawanan dan Tomislav mahukan pemainnya berehat seketika pada Aidilfitri dan kembali fokus kepada perlawanan menentang Sri Pahang selepas ini.