KETUA Jurulatih PJ City FC, P.Maniam berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang bermain sebagai satu pasukan untuk meraih kemenangan keatas Selangor FC 1-0 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Dia juga berbangga kerana pasukan bimbingannya berjaya menewaskan Selangor FC, salah satu pasukan terbaik di Malaysia untuk menamatkan rentetan 13 perlawanan tanpa kemenangan sejak April lalu.

“Selangor di bawah kendalian Nidzam Jamil bermain baik. Mereka mencipta lebih banyak peluang dan lebih tajam. Kami hanya bertahan dan melakukan serangan balas. Para pemain bermain dengan bagus dan menunjukkan karektor yang sangat baik.

“Persembahan kesemua pemain termasuk pemain gantian sangat bagus dengan karektor yang baik dan kemenangan ini adalah hadiah buat semua pemain dan juga pengurusan kelab PJ City FC.

“PJ City FC terlalu banyak keputusan seri. Kami seri tujuh kali dan ada dua tiga perlawanan kami sepatutnya menang tetapi hari ini bermain dengan Selangor FC, salah satu pasukan yang baik di Malaysia kami dapat tiga mata dan kami berbangga dengan keputusan ini,” kata Maniam selepas perlawanan.

Skuad The Phoenix bermain baik sebagai satu pasukan dan dengan sistem taktikal yang menjadi dan akhirnya berjaya merasai nikmat kemenangan selepas kali terakhir melakukannya pada April ketika menewaskan Terengganu FC.

Walaupun masih di tangga kesepuluh liga namun kemenangan itu memberikan tiga mata penting buat PJ City FC yang kini berkongsi 16 mata dengan Selangor dan memasuki persaingan dengan pasukan kelompok pertengahan liga.