KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT) Estaban Solari teruja dengan skuadnya yang berjaya melakar sejarah baharu buat kelab selepas memenangi kesemua 13 perlawanan pusingan pertama Liga Super musim ini.

Ini selepas JDT berjaya menewaskan Penang FC 2-0 dalam aksi sukar dan kontroversi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu sekaligus mendahului liga dengan kelebihan sembilan mata dan hanya dibolosi sekali setakat ini.

“Saya sangat bangga pemain. Saya beritahu mereka ini adalah perlawanan terakhir pusingan pertama dan ianya pasti sukar. Anda bergelut untuk memenangi kesemua permainan kerana ianya bukan mudah dan kini anda berjaya lakukannya, saya gembira dengan keputusan ini.

Foto: JDT

“Seperti saya katakan ianya perlawanan yang sukar kerana Penang adalah pasukan yang mempunyai kualiti dan mahu mencapai kemenangan apabila bermain di tempat sendiri. Sukar pada 15 minit pertama sebelum menjaringkan gol pertama dan separuh masa kedua kami menguasai permainan dan akhirnya dapat jaringkan gol kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bekas pembantu jurulatih skuad B-23 tahun Argentina itu juga gembira dengan prestasi para pemainnya kerana bukan sahaja berjuang untuk meraih kemenangan tetapi juga tidak membenarkan lawan menjaringkan gol.

“Kami melakukan banyak perkara yang baik. Bukan sahaja untuk menang tetapi tidak membenarkan mereka jaringkan gol kerana mereka mempunyai 15 hingga 16 ‘set pieces’ dan kami berjaya mengekang dengan baik. Saya gembira dengan prestasi pemain dan kami akan teruskan perkara ini.

“Hari ini permainan sedikit sukar kerana cuaca hujan dan kerana pasukan lawan mahu mencari kemenangan dihadapan penyokong yang fanatik. Kami perlu melakukan banyak perkara perlu dan akhirnya ianya perlawanan yang baik dan penyokong menggemarinya,” jelasnya.

Solari turut mengakui perlawanan yang sering dihentikan kerana kekasaran dan kecederaan menggangu rentak permainan selain Harimau Selatan berjaya menggunakan kelebihan ‘set piece’ serta menghalang lawan dari menjaringkan gol.

“Sejujurnya kami mempunyai perlawanan yang baik tetapi aksi yang selalu dihentikan sedikit mengganggu kerana sukar mendapatkan semula ritma. Kami juga berjaya menjaringkan gol menerusi ‘set piece’ dan menghalang mereka dari jaringkan gol.

“Pemain bekerja keras dan fokus kerana mereka komited kepada kelab dan mahu membawa kelab ini ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.

JDT bakal bertandang ke Kuala Terengganu selepas ini bertemu Terengganu FC dan Solari mahu para pemainnya mengekalkan prestasi pada pusingan pertama untuk dibawa ke pusingan kedua yang bermula pada Rabu.