PENYERANG naturalisasi negara, Romel Morales gembira dapat menggembirakan penyokong Harimau Malaya dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024.

Pemain Johor Darul Ta’zim itu melihat kemenangan 2-1 keatas Filipina berlaku disebabkan semangat kerjasama yang baik antara semua pemain dalam pasukan sekaligus mendorong mereka berkerja keras di atas padang.

“Saya bangga dengan pasukan kita. Kita berjuang dan kita tunjukkan semangat berpasukan kita. Kita kelihatan bagus bersama-sama dan kita bekerja keras sebagai satu pasukan dan satu keluarga.

“Jadi, kita boleh tunjukkan di atas padang bahawa kita berlari, memberi tekanan dan cuba berusaha mendapatkan bola. Ianya sukar, kita cuba berikan yang terbaik untuk dapatkan kemenangan dan cuba bermain demi penyokong,” katanya selepas ditemui media.

Dia turut mengakui bahawa pasukan Filipina merupakan satu lawan yang sukar namun dengan kerjasama yang jitu dalam pasukan Harimau Malaya, mereka berjaya mencipta kemenangan buat penyokong yang hadir ke stadium semalam.

Dalam perlawanan semalam, Malaysia mencatat kemenangan 2-1 menentang Filipina untuk mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka.

Walaupun ketinggalan menerusi jaringan Jefferson Tabinas pada minit ke-28, ia tidak meleburkan semangat pemain untuk mencari gol. Dua gol menerusi Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid cukup untuk Malaysia menempah tiket final.

Malaysia bakal bertemu Lubnan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 pada 8 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.