PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui kelebihan mempunyai skuad yang besar memberikan impak positif kepada Harimau Selatan terutama dalam penggiliran pemain untuk setiap perlawanan.

Harimau Selatan berhadapan jadual yang padat dengan saingan Liga Super, Liga Juara-Juara AFC Elite dan Piala Malaysia dan Bidoglio menganggap dia bertuah kerana mempunyai banyak pemain yang berkualiti dan menyukarkannya .memilih kesebelasan terbaik untuk setiap aksi.

JDT menang 4-0 keatas Negeri Sembilan FC bagaimanapun pengendali asal Argentina itu mengakui ianya bukan satu pertemuan yang mudah tetapi pemainnya berjaya bermain sebagai satu pasukan untuk mencipta kemenangan.

Bidoglio tetap anggap aksi sukar bertemu Negeri Sembilan FC

“Kami tahu ia satu perlawanan yang sukar namun pemain bermain baik sebagai satu pasukan dengan menggerakkan bola dari satu sisi ke satu sisi yang lain dan kami beruntung kerana mempunyai skuad yang besar dan berkualiti.

“Terima kasih pada boss (Tunku Ismail) kerana memberikan saya skuad yang besar hingga membolehkan saya mempunyai ramai pemain dengan semuanya mempunyai kualiti yang baik dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu menyaksikan Aifq Fazail kembali dalam kesebelasan utama selepas tersisih ekoran kecederaan dialami dan bermain sepanjang 90 minit serta debut Jese Rodriguez dalam Liga Super yang nyata menggembirakan Bidoglio.

Aksi Afiq selepas kembali dari kecederaan mendapat pujian Hector Bidoglio

“Afiq bermain baik selepas kembali dari kecederaan dan dia adalah pemain yang baik dan penting buat kami. Jese juga semakin baik dan sudah mula serasi dengan pasukan sekaligus saya kini mempunyai masalah memilih penyerang kerana semuanya berkualiti tetapi apa yang penting adalah aksi berpasukan,” jelasnya.

Kemenangan ini bukan sahaja memberikan tiga mata tetapi juga semangat tambahan buat JDT sebelum berhadapan Ulsan HD dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 November 2024.