MENYEDARI dengan lebih awal akan kekuatan pasukan Perak Bison yang dijangka menjadi lawan di final Liga Sepaktakraw (STL) Premier GP 1, Syahir Rosdi selaku tekong KL Thunder berkongsi bahawa pasukannya telah melakukan persiapan rapi untuk itu.
Syahir yang juga terkenal sebagai tekong nombor satu negara mengakui kehebatan pasukan Perak Bison yang turut dibarisi oleh pemain-pemain kebangsaan. Namun, semangat tinggi oleh rakan sepasukannya telah berjaya menidakkan kekuatan juara STL musim lalu itu.
Kemenangan straight set 2-0 (15-7, 15-12) jelas membuktikan kecemerlangan yang dipamerkan oleh KL Thunder yang dibarisi oleh Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) selain tekong utama tersebut.
“Perak Bison memang satu pasukan yang kuat, kita tahu pertahanan dia, servis dia memang baik. Jadi, kami memang tidak ambil mudah tentang perkara itu.
“Setiap persiapan kami memang agak cantik untuk bertemu dengan Perak, jadi dalam perlawanan ini memang kami berhati-hati.
“Apa-apapun, perjalanan masih panjang. Untuk perlawanan pertama ini memang rezeki kami untuk juara, tetapi kalau boleh kami nak teruskan kejuaraan ini untuk sirkit seterusnya.
“Saya juga belum cukup puas hati dengan prestasi saya, ada bola yang masih tersangkut dan terkeluar. Jadi saya akan perbaiki segalanya untuk hasilkan yang terbaik lagi pada perlawanan akan datang,” ujar Syahir ketika ditemui FLASH SUKAN selepas tamat perlawanan.
Dengan kemenangan berkenaan, ia menyaksikan pasukan Perak Bison terpaksa berada di kedudukan kedua dalam STL Premier GP 1. Saingan seterusnya (GP Terengganu) akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak pada 24 hingga 28 September 2024.