DITAHAN dalam call room dan tidak dibenarkan keluar, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan empat pelari pecut wanita negara.

Sehinggalah datang pelari pecut Bahrain mengucapkan tahniah, baharulah mereka sedar bahawa pingat gangsa dimenangi kuartet lawan beralih kepada rangkaian pelari negara.

Pelari pecut senior Zaidatul Husniah Zulkifli berkata, perasaan bercampur baur mula menyelubungi mereka.

“Sewaktu di call-room tempat kami simpan bag, agak terkejut kenapa keputusan belum keluar. Lebih pelik apabila kami ditahan lama dalam bilik tu, rupa-rupanya ada perubahan.

“Kemudian atlet Bahrain masuk, datang ke arah kami dan ucap tahniah, kami sangat terkejut waktu itu dan pada masa sama sangat gembira kerana ia tak dijangka pun,” kata Zaidatul menceritakan detik menggembirakan, mencipta sejarah menjadi kuartet 4×100 meter (m) wanita negara pertama, memenangi pingat di Temasya Sukan Asia.

Kuartet 4x100m Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Shereen Samson Vallabouy, pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat keempat di belakang Bahrain, sebelum rangkaian pelari negara itu dibatalkan penyertaan susulan melakukan kesilapan TR24.7 ketika membuat penggantian baton.

Malah, semakan pemenang pingat di laman rasmi Sukan Asia 2022 turut mengesahkan kuartet Malaysia memenangi pingat gangsa menerusi catatan 45.01 saat.

Tiada perubahan bagi kedudukan pertama dan kedua di mana pingat emas dimenangi China yang melakukan catatan 43.39 saat.

Kuartet Thailand yang melakukan catatan 44.32 saat memenangi pingat perak.