PEMANGKU Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mahu masalah dalaman yang melanda badan induk itu serta kelab Kuala Lumpur City FC, diselesaikan dengan segera sebelum Kongress Persatuan diadakan pada 7 September 2024.

Abdullah Sani menjelaskan bahawa perkara utama yang akan dibincangkan pada kongres tersebut adalah untuk menyelesaikan beberapa masalah yang menekan seperti kelewatan bayaran gaji pemain, laporan audit dan laporan kewangan persatuan serta kelab-kelab di bawah seliaan KLFA.

Beliau yang ditemui ketika sesi sidang media khas di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Khamis bagaimanapun yakin masalah yang membelenggu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Abdullah Sani (tengah) ketika sidang media khas KLFA

“Kita jangkakan akan menerima laporan audit pada 26 Julai dan akan mengeluarkan notis rasmi untuk Kongres itu menjelang 1 Ogos. Antara agenda yang penting adalah dapatan audit serta beberapa lagi perkara.

“Kami komited untuk menyelesaikan masalah yang timbul secara menyeluruh dan memastikan ianya jelas serta bertanggungjawab terutama dari segi kelewatan bayaran gaji pemain,” katanya.

Mengulas mengenai isu kelewatan bayaran gaji itu, beliau menjelaskan bahawa kelab sudah melakukan perbincangan dan perjanjian dengan pemain meskipun terdapat pelbagai keadaan yang berbeza.

Pemain-pemain KL City tetap mempamerkan aksi cemerlang walaupun dilanda pelbagai kemelut

“Apa yang kami lakukan mestilah berdasarkan semangat berpasukan dan mengikut perlembagaan persatuan. Komitmen yang ditunjukkan oleh para pemain KL City meskipun dilanda masalah menunjukkan semangat yang baik dalam pasukan,” jelasnya.

Sementara itu, Abdullah Sani tidak mahu mengulas tentang kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa tentang obligasi kewangan DBKL kepada KLFA.