KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak mengakui mereka layak untuk mengutip tiga mata apabila bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Bojan juga gembira kerana kemenangan ini akan menjadi pemangkin semangat buat pasukannya yang akan beraksi di final Zon Asean Piala AFC minggu hadapan.
“Seperti yang saya jangkakan ianya akan menjadi perlawanan yang menarik. Keadaan padang agak tidak baik dan bola melantun. Negeri Sembilan bermain baik pada awal babak pertama tetapi kami berjaya bangkit dan menjaringkan gol selepas itu.
3 POINTS! #KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/6ecTUU6eyN
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) August 18, 2022
“Kami seharusnya menghabiskan perlawanan lebih awal pada babak kedua tetapi kami gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai peluang terbuka tetapi apa pun kami memang layak untuk memenangi perlawanan ini.
“Kami juga berjaya bertahan dengan baik dan mengekalkan ‘clean sheet‘ seperti di Vietnam. Kami hanya melakukan kesilapan ketika menentang JDT tempoh hari dan selepas itu kami bermain dan bertahan lebih baik.
“Kemenangan ini sangat penting untuk membina keyakinan kami menjelang perlawanan akhir Zon Asean Piala AFC menentang PSM Makassar. Mereka kini bukanlah pasukan yang sama berbanding ketika peringkat kumpulan kerana kini mereka berada di tangga tiga teratas Liga 1 Indonesia,” jelas Bojan selepas perlawanan.
Dengan kemenangan ini, Kuala Lumpur City FC melonjak ketangga kelima liga dengan 21 mata dan kini akan mempersiapkan pasukan untuk pertemuan akhir zon Asean Piala AFC yang berlangsung pada Rabu.