KAPTEN pasukan Bangladesh, Jamal Bhuyan ingin menamatkan saingan terakhir Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Malaysia pada Selasa dengan keputusan positif.
Biarpun sudah tersingkir dalam perebutan slot ke Piala Asia tahun depan selepas tewas dua perlawanan bertemu Turkmenistan dan Bahrain, anak buah Javier Fernandez Cabrera itu tetap mahu rakan-rakan sepasukannya terus mempamerkan aksi terbaik.
“Kita mahu tamatkan perlawanan ini dengan keputusan yang bagus, kami tahu ia perlawanan di tempat lawan, adanya penyokong Malaysia yang ramai, kami hanya mahu menikmati perlawanan esok.
“Kita ada beberapa pemain muda, tetapi mereka adalah pemain yang baik, secara individu kami tidak kuat tetapi apabila kami bermain secara sepasukan, kami kuat.
“Kita harus mengambil peluang, tetapi malangnya kami tidak mengambil peluang itu, ” jelas Jamal pada sidang media pra perlawanan, Isnin.
Jika diimbau perlawanan bertemu Turkmenistan, Jamal enggan lagi toleh ke belakang sambil menyifatkan ia adalah medan pembelajaran terbaik buat pasukannya.
“Kita boleh belajar dari perlawanan itu dan kita boleh gunakan untuk perlawanan seterusnya. Saya selalu beritahu kepada pemain rakan-rakan, anda bermain untuk diri anda, untuk pasukan tetapi apabila anda pemain bola sepak internasional, anda bukan bermain untuk diri anda sahaja tetapi anda bermain untuk pasukan.
“Kami bermain atas nama Bangladesh (200 juta rakyat) dan sudah tentu kami mahukan rakyat kami bangga , jadi kami akan memberi keputusan yang terbaik untuk rakyat Bangladesh,” tambahnya.
Sementara itu, Jamal berkata corak permainan Malaysia serupa dengan negara jiran dari Indonesia.
“Malaysia bermain seperti Indonesia, kami ada pelan untuk esok tetapi tidak akan memberitahu kamu.
“Mereka ada pemain pantas dan sentiasa bergerak, sudah tentu jurulatih ada pelan tertentu, dan kami perlu terjemahkan dengan jaringan untuk menang dengan Malaysia.
“Kadangkala, kita perlu beri tips – tips kecil kepada rakan sepasukan agar mereka dapat menyesuaikan diri dalam pasukan.
“Tekanan pasti kepada Malaysia kerana mereka beraksi di hadapan ribuan penyokong tetapi kami perlu lari daripada mereka esok,” tambah pemain berusia 32 tahun ini.
Selepas dua perlawanan, Bangladesh kini menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.