JURULATIH Melaka United FC, Asri Ninggal ternyata gembira dan memberikan kredit kepada anak buahnya apabila mempamerkan aksi cemerlang ketika menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA) di Stadium Darul Aman malam tadi.
Dia turut berkongsi apa yang diperkatakan oleh beliau di bilik persalinan bahawa penyokong Melaka United sudah tidak mempercayai dengan pasukan ini dan para pemain harus membuktikan sebaliknya.
Kemasukan Norshahrul Idlan Talaha nyata banyak membantu kebangkitan Melaka United dengan Asri sendiri mengakui bukan mudah untuk beraksi di Darul Aman lebih-lebih lagi selepas cuti Aidilfitri dan bermain dalam keadaan hujan.
“Saya mahu memberikan kredit kepada pemain-pemain saya. Mereka memberikan aksi 100 peratus dan kita berjaya mendominasi perlawanan pada 10 minit terakhir selepas pemain KDA dilihat sudah penat.
“Kami juga ingin membuktikan bahawa kami mempunyai pasukan yang baik dan kami perlu bekerja keras bagi mengembalikan semula keyakinan kepada para penyokong. Kejayaan hanya akan datang selepas kita bekerja keras,” tambah Asri.
“Bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dua kali tetapi para pemain menunjukkan kesungguhan dan akhirnya kemenangan menjadi milik kami dan saya gembira dengan kejayaan ini” katanya selepas perlawanan.
Dua jaringan Ifedayo Olesegun memberikan tiga mata buat Melaka United sekaligus kemenangan kedua mereka berturut-turut selepas mengalami empat kekalahan pada permulaan musim.
Momentum kemenangan ini diharap dapat diteruskan pada aksi Piala FA menentang PJ City dengan penjaga gol, Bryan See dijangka sempat pulih menjelang pertemuan itu nanti.