RENTAK positif ingin diteruskan pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Dominic Tan ketika bertemu Papua New Guinea pada Selasa.
Ujarnya, skuad negara turun ke gelanggang demi mendapatkan kemenangan tanpa mengira siapa pasukan lawan yang menanti.
“Setiap aksi peringkat antarabangsa bukan mudah, kita akan hadir ke perlawanan dengan minda positif untuk mendapatkan kemenangan.
“Perkara utama adalah kita bermain mengikut objektif dan kita semestinya mahu menang,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu pada Sabtu.
Pasukan kendalian Kim Pan-gon yang segar mengalahkan Kepulauan Solomon 4-1, akan berdepan satu lagi perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Papua New Guinea pula pada 20 Jun ini.
Pemain berketinggian 1.83 meter itu bergandingan dengan Shahrul Saad, Corbin Ong dan Matthew Davies yang masuk sebagai pemain gantian pada hujung babak pertama berjaya membentuk pertahanan mantap serta mengelak daripada bolos kali kedua semasa menentang Solomon.
“Sekiranya saya diberi lagi tanggungjawab bergandingan dengan Shahrul, saya mahu gandakan lagi kualiti permainan selain mengelak gawang daripada dibolosi,” kata bekas pemain Police Tero semasa bermain di Liga Thailand pada 2021.
Sementara itu, jumlah kehadiran peminat yang hadir ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Rabu lepas cukup membantu membakar api semangat pemain negara dan Dominic percaya mereka dapat menyesuaikan corak dan taktikal permainan dengan lebih cepat.
“Harap lebih ramai lagi penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan dan sudah tentu sokongan padu daripada peminat setia Harimau Malaya menyuntik lagi semangat kami beraksi,” tambahnya lagi yang kini bermain untuk kelab Sabah FC.