PEMAIN antarabangsa baharu Selangor FC, Alvin Fortes jelas sudah bersedia untuk mengharungi kempen Liga Malaysia musim 2024-25 dengan mahu fokus kepada perkembangan dirinya sendiri untuk membantu pasukan mencapai keputusan yang diinginkan.

Pemain antarabangsa Cape Verde itu juga tidak mahu hanya meletakkan fokusnya kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja tetapi kepada kesemua pasukan kerana dia menjangkakan satu saingan yang cukup kompetitif dalam Liga Super musim ini.

Alvin mempamerkan aksi meyakinkan dengan menjaringkan tiga gol dalam Kejohanan Selangor Asia Challenge 2024 sekaligus menarik minat para penyokong yang dahagakan persembahan cemerlang dari pasukan.

Alvin Fortes tidak mahu Selangor hanya fokus kepada JDT sahaja

“Gembira dengan kejayaan ini dan ianya boleh dianggap perkara yang baik buat kami tetapi ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dalam persediaan untuk bertemu JDT nanti.

“Saya sentiasa berlatih dan belajar dengan rakan sepasukan untuk memastikan keserasian kami semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan bagi mencipta kemenangan dan memberikan kegembiraan kepada penyokong kami.

“Kami tidak hanya melihat kepada JDT kerana setiap perlawanan adalah penting dan dengan gandingan pemain serta barisan kejurulatihan yang bagus di sini, saya rasakan semuanya akan baik buat Selangor kerana motivasi kami ketika ini sangat baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Alvin cemerlang bantu Selangor FC muncul juara Selangor Asia Challenge 2024

Alvin juga memuji penyokong Selangor yang sentiasa berada di belakang pasukan sekaligus memberikan motivasi tambahan buat para pemain dan dia berharap para pemain dapat membalas dengan memberikan aksi terbaik sepanjang musim ini.

Selangor muncul juara Selangor Asia Challenge 2024 selepas menewaskan DPMM FC dan Young Elephants kedua-duanya dengan keputusan 4-0 sekaligus menjadi pemangkin semangat untuk memulakan kempen Liga Malaysia 2024-2025 bertemu JDT pada 10 Mei 2024 di Stadium Sultan Ibrahim.