PENGENDALI Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou tidak pelik jika ramai yang mula hilang kepercayaan terhadap kemampuannya di Tottenham, tetapi ia mampu diatasi jika dia menang ke atas pasukan besar seperti Arsenal.
“Jika orang mula hilang kepercayaan terhadap apa yang kami lakukan, saya tidak boleh jadikan ia sebagai panduan saya. Panduan saya ialah apa yang saya lihat setiap hari, cara kami bermain bola sepak, cara pasukan berkembang.
“Saya optimis dan sentiasa yakin. Tidak ada apa di hadapan saya yang membuatkan keyakinan saya terjejas terhadap apa yang kami sedang lakukan,” kata Postecoglou.
Musim baharu Spurs setakat ini hanya menyaksikan satu kemenangan, satu seri dan kekalahan tipis di Newcastle.
Persembahan mereka boleh dianggap meyakinkan, namun keputusan tidak menyebelahi anak buah Postecoglou – sama seperti musim lalu di mana Spurs gah membelasah pasukan kerdil tetapi bergelut mengutip mata daripada pasukan lebih kuat.
Esok Arsenal akan bertandang ke laman Tottenham. Kali terakhir beraksi di Stadium Tottenham Hotspur pada April, anak buah Mikel Arteta mendahului 3-0 di babak pertama sebelum Spurs bangkit meledak dua gol di babak kedua.
Kemudian mereka tewas 2-0 kepada Manchester City, tetapi penyokong Spurs sekurang-kurangnya menarik nafas lega kerana seteru mereka, Arsenal gagal untuk meraih kejuaraan.
‘Meraikan kekalahan’ ketika itu membuat Postecoglou kurang selesa, jadi dia mahu memastikan penyokong dapat menikmati kemenangan sebenar ke atas Arsenal musim ini.