PENYERANG naturalisasi skuad Harimau Malaya, Paulo Josue lega selepas pasukannya kembali tampil corak permainan seperti yang diamalkan berbanding semasa kalah kepada Jordan dan Bahrain.

Malaysia mencipta sensasi besar apabila mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha pada Khamis.

“Dua perlawanan pertama, kami tidak dapat menunjukkannya dengan betul dan kemudian malam ini kami mempamerkan dengan sangat baik.

“Kami mempertahankan kubu kami seperti orang gila. Malam ini kami pertahankan kotak D sendiri. Kami membantu Syihan (Hazmi) untuk tidak melepaskan gol walaupun mereka boleh (skor jaringan).

“Mereka mendapat tiga set-piece dan kami berjaya menahan mereka. Saya fikir pada penghujung permainan kami berjaya menjaringkan gol dan mencari gol untuk menyamakan kedudukan,” katanya selepas perlawanan.

Kejayaan mengikat Taegeuk Warriors membolehkan anak buah Kim Pan-gon memungut satu mata dan mengelak pulang dengan tangan kosong ke tanah air.

Tonggak Kuala Lumpur City FC itu berkata, kemajuan pasukan kebangsaan semakin meningkat sejak dirinya mula melakukan debut untuk Malaysia pada 23 Mac 2022.

“Dua perlawanan pertama bukan bola sepak Malaysia yang kami tunjukkan dua tahun lepas, terutamanya selepas saya menyertai pasukan dan pasukan bermain dengan sangat baik.

“Saya berfikir kepada Tuhan, kami hanya berjaya bermain dengan baik dan kami menyamakan kedudukan pada penghujung permainan,” katanya.