KETUA Jurulatih Al-Seeb, Rasheed Jabar Alyafai mengakui perlawanan esok bukanlah perlawanan yang mudah buat pasukannya kerana sedar akan kekuatan yang ada pada skuad Kuala Lumpur City FC.
Namun dia yakin dengan kemampuan pasukannya yang dilihat sudah bersedia bukan sahaja untuk perlawanan akhir ini tetapi juga sejak sepanjang bersaing dalam Piala AFC ini.
Rasheed juga bersetuju dengan video bantuan pengadil (VAR) yang akan digunakan pada perlawanan akhir ini kerana ianya akan menyingkirkan keraguan yang mungkin timbul pada perlawanan itu.
الإمبراطور يسعى للظفر بأول لقب قاري للكرة العمانية عندما يخوض نهائي الاسيويه من ارض كوالالمبور سيتي#كاس_الاتحاد_الاسيوي#نادي_السيب pic.twitter.com/e2eVgYrUzs
— نادي السيب (@Seeb_SC) October 19, 2022
“Ini adalah kali pertama kami dalam pertandingan ini dan layak ke final. Ianya sangat bagus buat kami dan tidak sabar untuk perlawanan esok. Kami menjangkakan perlawanan yang sukar kerana KL City mempunyai pemain yang bagus dan berharap kami berjaya mendapat apa yang telah kami rancang.
“Kami sudah bersedia bukan hanya untuk perlawanan ini tetapi juga untuk keseluruhan kejohanan ini. Kami sudah bersedia untuk perlawanan akhir ini dan saya tahu saya mempunyai pemain yang mampu mengubah keputusan permainan.
“KL City mempunyai pemain yanyg bagus dan mereka juga berbahaya menerusi ‘set pieces’ dan kami sudah bersedia untuk menghadapinya. Sekecil-kecil perkara boleh terjadi untuk mengubah keputusan dalam perlawanan akhir dan kami sudah bersedia secara fizikal dan mental untuk menghadapi 90 minit pertembungan akhir ini.
“Ianya langkah yang bagus untuk mempunyai VAR kerana sekurang-kurangnya ianya mampu untuk menjelaskan beberapa keraguan dalam sesetengah keputusan pengadil dan kami sebenarnya sudah meminta teknologi ini digunakan ketika peringkat kumpulan lagi kerana semua kejohanan sudah menggunakannya,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Rasheed yang baru mengambil alih kelab Oman ini kini mengintai kejayaan pertama bersama Al-Seeb yang layak pertama kali ke Piala AFC seterusnya layak ke final.