PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui skuad bimbingannya sepatutnya membawa pulang lebih banyak kelebihan gol untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia namun dia terpaksa akur dengan kemenangan 2-1 keatas Kuala Lumpur City FC pada Sabtu.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Terengganu mempersiakan banyak peluang keemasan untuk dibawa pulang ke Kuala Terengganu namun Tomi tetap berbangga dengan corak serangan yang ditampilkan pemainnya.
“Saya beritahu rakan saya, Nenad Bacina bahawa dia sepatutnya lega kerana keputusan hanya 2-1. Satu kelebihan gol sepatutnya lebih tetapi ini adalah bola sepak dan tahniah kepada pemain kerana berikan aksi yang baik dan berjaya catat kemenangan.
“Kini kami akan fokus untuk perlawanan timbal balik kerana KL City akan bertambah baik dengan kehadiran Romel Morales dan Paulo Josue oleh itu kita perlu lebih berhati-hati,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Tomislav juga nyata berpuas hati dengan cara pasukannya mencipta peluang cuma kegagalan penyudah menyaksikan mereka perlu bekerja keras dalam aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3 November nanti.
Dia juga sedikit risau dengan jadual yang padat dan setelah berbincang dengan pihak pengurusan, mereka meletakkan Piala Malaysia sebagai tumpuan utama selain Piala AFC dan mungkin akan menurunkan barisan simpanan sahaja untuk baki aksi Liga Super selepas ini.
“Ivan dapat jaringkan gol dan pemain lain seperti Sony, Syahmi dan Nik Sharif mempunyai banyak peluang. Apabila kita cipta peluang, saya puas hati kerana masalah akan timbul apabila kita tidak dapat cipta peluang.
“Saya berbincang dengan pengurusan dan kami bersetuju untuk fokus kepada Piala Malaysia seterusnya Piala AFC. Masalah saya adalah pemain simpanan saya tidak cukup berkualiti berbanding kesebelasan utama.
“Mereka bukan tidak bagus tetapi kurang minit permainan dan kini saya akan turunkan mereka dalam perlawanan Liga Super selepas ini menentang Sri Pahang pada 29 Oktober nanti kerana fokus kami kini mahu ke Bukit Jalil,” jelasnya.
Dua jaringan menerusi Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy dilihat seakan-akan sudah memberikan kelebihan selesa buat Terengganu sebelum penalti Tchetche Kipre pada minit-minit terakhir perlawanan memastikan perlawanan masih terbuka menjelang aksi timbal balik.