RAMAI mungkin tidak perasan bahawa pasukan Wilayah Persekutuan mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki buat pertama kali di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas buat kali pertama sejak 1986 di Stadium Mukah selepas menundukkan Melaka 2-1 dalam aksi final Sabtu lalu sekali gus menyaksikan Wilayah Persekutuan kini termasuk dalam senarai pemenang ‘ibu segala pingat’ di Sukma.

Namun disebalik kejayaan itu, terdapat perit yang perlu dilalui oleh bekas pemain Kuala Lumpur City Extension (skuad muda KL City FC) yang perlu menempuhi cabaran susulan berhadapan krisis pembayaran gaji sebelum terpilih ke temasya sukan dwitahunan itu.

Haritz Rifaee yang kini merupakan pemain KL Rovers antara salah satu pemain Wilayah Persekutuan dan KL City Extension yang terpaksa menempuhi laluan yang berliku sebelum Sukma 2024

Salah seorang pemain yang terlibat, Muhammad Haritz Rifaee Khairol Rizal menceritakan pengalaman yang kurang enak itu ketika dihubungi FLASH SUKAN.

“Pada awalnya, persiapan kami ikut sahaja latihan sehingga kami tidak mempunyai kewangan untuk turun ke tempat latihan.

“Kami semua (pemain) tidak dapat menampung kos minyak untuk pergi ke tempat latihan sehingga kami terpaksa mengikat perut.

Pemain Wilayah Persekutuan meraikan kejayaan pasukan selepas memenangi pingat emas bagi acara bola sepak lelaki buat pertama kali

“Ada rakan sepasukan saya kasut boot dia sudah rosak dan koyak namun tidak dapat beli yang baru kerana terpaksa ikat perut untuk turun latihan sebab ada antara daripada kami yang jauh dari tempat latihan sehinggakan kami satu pasukan berbincang dengan coach Nidzam Adzha untuk tidak turun latihan pada mulanya,” jelasnya yang kini beraksi bersama KL Rovers.

Namun kerana pemain-pemain ini cintakan sukan bola sepak, mereka tetap gigih mencari solusi kepada masalah yang dihadapi.

“Walaupun kami tidak dibayar gaji selama lima bulan serta tiada kewangan untuk tampung kos minyak tapi kami sebagai pemain cuba mencari jalan untuk pergi juga ke tempat latihan untuk persiapan Sukma 2024.

“Kami terpaksa bergilir-gilir tukar kenderaan dengan kawan untuk pergi ke tempat latihan. Kawan saya yang kasut bootnya koyak dan rosak sangat kalau dipakai untuk latihan tetapi kerana kami sudah anggap seperti satu keluarga, kasut boot pun kami memberi pinjam antara satu sama lain,” tambah bekas pemain Sekolah Sukan Negeri Sembilan itu.

Pemain yang berusia 20 tahun itu menyatakan bahawa Nidzam Adzha dan jurulatih-jurulatih lain adalah individu terpenting dalam memberi motovasi kepada satu pasukan untuk capai sasaran iaitu memenangi emas.

“Apabila kami bercakap kepada coach Nidzam untuk tidak pergi ke tempat latihan kerana tiada wang, coach Nidzam dan jurulatih-jurulatih lain banyak memberi motivasi kepada kami pemain untuk terus turun berlatih demi mencapai sasaran iaitu memenangi pingat emas untuk Sukma kali ini.

Nidzam Adzha yang juga merupakan ketua jurulatih bola sepak lelaki Wilayah Persekutuan antara individu terpenting dalam memberi motiavasi kepada para pemain pasukan Wilayah Persekutuan

“Banyak kata-kata semangat yang diberikan oleh coach Nidzam dan jurulatih-jurulatih lain. Salah satunya ialah teruskan berlatih sehingga kami juara untuk memasarkan diri sendiri dan capaikan sasaran terlebih dahulu Insya Allah kemanisan akan datang selepas itu,” ujar bekas bakat Mencari Ramli Musim ke-6 itu.

“Selepas perjalanan yang agak sukar, kami akhirnya memenangi ibu segala pingat di Sukma buat pertama kali untuk pasukan Wilayah Persekutuan. Kami dapat merasai sampai sekarang kerana ia berbaloi dengan pengorbanan yang kami lalui .

“Kami bangga dengan pencapaian kami ini kerana banyak jalan berliku yang kami (pemain) telah hadapi untuk Sukma tahun ini. Kami amat berterima kasih kepada ibu dan ayah, coach Nidzam Adzha dan coach yang lain yang banyak memberi motivasi kepada kami untuk terus berjuang sehingga memenangi pingat emas,” katanya.