KESILAPAN individu salah satu faktor menyebabkan Kelantan Darul Naim FC terpaksa akur tunduk 0-3 kepada Kedah Darul Aman FC pada saingan kelima Liga Super 2024/25 di Stadium Darul Aman.
Penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya berkata beberapa kesilapan itu menyebabkan pasukan kendalian Park Jaehong bolos dengan jaringan yang tidak sepatutnya.
“Pada perlawanan ini, Kedah ternyata lebih baik dan pemain mereka juga lebih berpengalaman. Dalam bola sepak, kami tetap kena berlawan sebab itu kami kena salahkan diri sendiri.
“Kami sebenarnya kena jaringan gol yang sepatutnya tidak boleh diterima hasil kesilapan individu, sebab itu pada babak kedua kami terpaksa ubah perancangan, ubah formasi dari 352 kepada 433 untuk cuba mencari jaringan tetapi gagal,” katanya selepas perlawanan.
Mengulas lebih lanjut, Rezal memberitahu persembahan mereka dari satu perlawanan ke perlawanan tiada masalah namun aksi dengan Kedah tampak penurunan prestasi.
“Jika kita lihat perlawanan demi perlawanan terutamanya ketika melawan PDRM, kami meningkat tetapi pada aksi malam ini seakan ada penurunan prestasi.
“Momentum kami hilang selepas liga berehat panjang, berbeza dengan Kedah kerana mereka ada perlawanan pada setiap minggu.
“Jika berterusan begini, memang merisaukan kerana kami kalah 4 dari 5 perlawanan. Sudah pasti untuk mengharungi baki liga kami kena tingkatkan prestasi. Pihak kejurulatihan akan melihat semula apa sebenarnya yang berlaku untuk meningkatkan semula pemain ke tahap sepatutnya,” tambahnya.
Pada perlawanan tersebut, Kedah Darul Aman FC menang bergaya dengan tiga gol hasil jaringan dari Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad dan Sony Norde.