GERGASI La Liga, Real Madrid bangkit dari ketinggalan dua gol pada babak pertama untuk mencapai kemenangan 3-2 keatas Villarreal untuk layak ke peringkat suku akhir Copa del Rey.

Pengendali pasukan Carlo Ancelotti mula merasai sedikit tekanan dengan aksi kurang memuaskan selepas Piala Dunia berakhir dan ianya menjadi bertambah buruk buatnya apabila Villareal mendahului seawal minit keempat menerusi jaringan Étienne Capoue.

Tidak cukup dengan itu, Samuel Chukwueze menjaringkan gol kedua buat Villarreal pada akhir babak pertama untuk kedudukan 2-0 sekaligus menambah tekanan kepada barisan Real Madrid yang diketuai oleh Karim Benzema.

 

Real Madrid memerlukan separuh masa kedua yang hebat untuk kembali dalam perlawanan dan kemasukan Marco Asensio dilihat banyak mengubah rentak permainan selepas Madrid merapatkan jurang menerusi Vinícius Júnior.

Éder Militão menyamakan kedudukan pada minit ke-70 selepas menyambut bola muntah percubaan Benzema sekaligus menyuntik semangat baharu buat para pemain Madrid yang jelas tidak mahu bermain sehingga masa tambahan.

“Dani Ceballos menjadi seorang lagi pengaruh yang besar dalam perubahan corak permainan Madrid selepas dimasukkan menggantikan Toni Kroos dan dia berjaya menjaringkan gol empat minit sebelum tamat selepas menerima hantaran dari Asensio dan Madrid berjaya mengekalkan kedudukan hingga tamat perlawanan untuk layak ke suku akhir.

Bercakap selepas perlawanan, Carlo Ancelotti menjelaskan mereka bermain buruk pada babak pertama namun beberapa perubahan dapat mengubah corak permainan dan akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan.

“Kami bermain sangat buruk pada separuh masa pertama dan separuh masa kedua sangat tidak dijangka kerana kebiasaannya sukar untuk mengubah perlawanan selepas anda bermain dengan buruk namun pemain menunjukkan personaliti yang hebat.

“Kemasukan Asensio dan Ceballos mengubah permainan. Mereka membawa tenaga yang banyak dan membuat keputusan yang tepat dalam padang untuk memberikan kami keyakinan yang lebih tinggi pada separuh masa kedua. Kami berjaya ubah permainan dan kami juga mengubah laporan perlawanan anda,” seloroh Ancelotti selepas perlawanan kepada media.

Dalam satu lagi perlawanan, dua jaringan daripada penyerang berbisa, Robert Lewandowski berjaya membantu Barcelona menewaskan Cueta 5-0 dan akan menunggu lawan di peringkat suku akhir menerusi undian yang akan dilakukan pada Jumaat