PENGENDALI skuad futsal Pahang Rangers FC Gerard Casas nyata gembira dengan semangat yang ditunjukkan para pemainnya yang bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk mengikat kedudukan 3-3 sebelum memenangi perlawanan menerusi penentuan penalti keatas Johor Darul Ta’zim dalam aksi final Malaysia Futsal Cup 2023.

Aksi di Stadium Malawati Shah Alam yang cukup dramatik dianggap oleh Casas sebagai bukti semangat Mat Kilau yang diserap pemainnya untuk bergelar juara berganda futsal Malaysia selepas menjuarai Liga Premier Futsal Kebangsaan sebelum ini.

“Perlawanan ini sungguh menakjubkan dengan sorakan yang sangat baik dari para penyokong. Ini membuatkan saya sangat tertekan dan rasa bertanggungjawab untuk menang. JDT adalah pasukan yang baik tetapi pasukan ini tunjukkan semangat melawan seperti semangat Mat Kilau.

“Pemain percaya mereka mampu bangkit selepas ketinggalan 3-1 ketika perlawanan berbaki lima minit dan akhirnya kami bergelar juara sekali lagi. Saya bangga dengan keputusan ini dan sangat gembira buat para penyokong,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Taktikal ‘power play‘ yang digunakan Casas ketika ketinggalan 1-3 nyata membuahkan hasil apabila Pahang Rangers berjaya mendapatkan dua gol pada minit-minit akhir perlawanan untuk mengikat kedudukan dan dia mengakui ini adalah kali pertama mereka melakukannya dibawah tekanan yang luar biasa.

“Saya yakin dengan taktikal ‘power play‘ kerana kami telah berlatih sepanjang minggu dan tahu cara JDT bertahan ketika menghadapi taktikal ini. Ianya juga adalah kali pertama kami gunakan taktikal ini dalam keadaan tekanan yang sukar dan ianya berjaya,” tambahnya.

Gerrard juga dilihat berlari ke tempat duduk penyokong di grandstand sejurus tamat perlawanan dan dia menyatakan dia pergi berjumpa kedua ibu-bapanya yang hadir dari Barcelona, Sepanyol dan mendedikasikan kemenangan ini kepada mereka.

“Keluarga saya ada disini selepas menempuh perjalanan selama 17 jam dari Barcelona. Tahun lalu juga mereka di sini tetapi kami tewas dan saya mahu berikan kemenangan ini kepada mereka selepas tewas musim lalu dan mahu buktikan kepada mereka perjalanan mereka berbaloi dan tidak tewas buat kali kedua,” jelasnya yang cukup gembira.

Di sebalik kemenangan itu, dia tidak mahu mendedahkan tentang kontrak masa depannya bersama Pahang Rangers namun mengesahkan sudah menerima tawaran untuk melanjutkan kontrak tetapi dia masih belum memikirkannya dan hanya akan fokus kepada cuti akhir musim.

“Saya ada menerima kontrak lanjutan dengan Pahang Rangers tetapi saya masih belum memikirkannya lagi dan hanya mahu meraikan kejayaan ini dan berehat seketika. Apa yang pasti jika saya tinggalkan kelab ini, saya akan merindui penyokong dan semua yang ada di kelab ini,” katanya.

Di bawah kendalian Cassas, Pahang Rangers berjaya layak ke final sebanyak empat kali, dua kali pada 2022 dan pada 2023 untuk berjaya bergelar juara berganda dalam musim 2023.