BELUM cukup keberanian pada mata-mata penting, menjadi pemisah antara pemain ranking pertama dan kesembilan dunia.
Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh ee Wei mengakuinya selepas tunduk kepada pilihan utama, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 14-21, 21-23 di suku akhir.
Kekalahan itu sekali gus meranapkan impian gandingan campuran utama negara, untuk meraih pingat di temasya Sukan Asia di Hangzhou kali ini.
Pada aksi di Gimnasium Binjiang, Tang Jie-Ee Wei dua kali di mata penamat, 20-17, 21—20, namun gagal mencari mata kemenangan untuk mengheret perlawnaan ke set penentuan.
“Saya rasa pada mata kritikal, kami tak cukup berani berbanding mereka, itu yang perlu dipelajari daripada pihak lawan.
“Ketika berada pada mata 20, kami jadi tidak yakin dan terikut-ikut permainan lawan,” kata Tang Jie, selepas tewas.
Gandingan negara menafikan bahawa sokongan padu penyokong tuan rumah, menjejaskan tumpuan mereka, “Saya dan Ee Wei berada dalam zon sendiri hari ini, jadi kami langsung tidak dengar sorakan penonton, jadi itu bukan faktor kekalahan kami.”
Sementara itu, bagi Ee Wei, pengalaman pertama di Sukan Asia memberi pengajaran berguna, apabila mereka memberi persaingan baik kepada Si Wei-Ya Qiong.
“Kali terakhir jumpa pasangan ini, kami tewas mudah tapi kali ini beri saingan yang baik, tapi masih tak cukup kerana kami kalah lagi.
“Kami perlu berlatih lebih kuat dan menggunakan pengalaman di sini untuk digunakan pada pertemuan seterusnya,” kata Ee Wei.
Ini adalah pertemuan kedua Tang Jie-Ee Wei dengan Si Wei-Ya Qiong, selepas mereka tewas 11-21, 13-21 pada Terbuka Jepun Julai lalu.