PENYERANG Bayern Munich, Harry Kane meledak empat gol ketika membantu pasukannya membelasah Dinamo Zagreb 9-2 untuk memecahkan rekod jaringan Liga Juara-Juara Eropah.
Bayern menemui sasaran tiga kali di babak pertama dengan Kane menyempurnakan penalti minit ke-19, sebelum menjadi pemain Inggeris yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah Piala Eropah dengan 33 gol, mengatasi rekod 30 gol Wayne Rooney.
Kane, yang meledak hatrik ketika menentang Holstein Kiel dalam saingan Bundesliga pada Sabtu, turut menjadi pemain pertama merakam hatrik penalti dalam perlawanan Piala Eropah.
Ia adalah jurang kemenangan kedua terbesar dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah, dengan Liverpool dan Real Madrid masih mendahului dengan kemenangan 8-0.
Kemenangan 8-4 Borussia Dortmund ke atas Legia Warsaw pada tahun 2016 adalah rekod jaringan terbanyak dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.
“Dapat membantu pasukan adalah perkara paling penting. Sama ada ia penalti atau penyudah biasa, saya akan ambil semuanya,” kata Kane.