SEBUAH kelab Liga Super yang sedang menyiapkan skuad mantap dilaporkan bersedia menyambar kapten Bangladeh, Jamal Bhuyan pada saingan musim baharu tahun depan.

Jamal yang dilahirkan Copenhagen, Denmark bukan asing bagi sebahagian peminat tempatan kerana kelibatnya pernah disaksikan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lepas.

Pasukan ini yang mengesahkan kekal di liga utama itu sedang mengadakan rundingan dan jika segalanya berjalan lancar Jamal akan muncul pemain lokal negara itu pertama beraksi di Malaysia.

Selain itu, pemain sayap lincah kelab Muktijoddha Sangsad KC berusia 23 tahun, Obidur Nawab turut menjadi sasaran kelab yang sama untuk ditandatangani kontrak.

Sementara itu, FLASH SUKAN ketika menghubungi jurulatih kelab berkenaan, Raja Isa Raja Akram Shah enggan mengulas lanjut namun menyifatkan ia sebagai perkembangan positif mempromosikan Liga Super di Asia Selatan.

“Saya tak dapat komen lanjut. Cuma apa boleh saya nyatakan ia bagus buat liga kita pada masa depan.

“Faktor bisnes dan merchandising serta pangkalan peminat yang besar antara daya tarikan mereka ingin hadir ke sini.

“Jumlah pertandingan yang kompetitif iaitu sebanyak 36 perlawanan liga semusim memungkinkan Jamal dan Obidur berminat bermain di kelab Malaysia,” katanya.

Obidur memulakan karier dengan kelab Al-Duhail SC  di Qatar Stars League, dan membuat debut menentang Al-Sailiya SC pada 7 March 2020.

Obidur Nawab

Bekas pengemudi UiTM FC itu juga meluahkan kegembiraan kerana selama dua musim melatih di Liga Bangladesh, pemain Muktijoddha sentiasa mendapat panggilan dari skuad kebangsaan.

“Selepas lebih 10 tahun, barulah pemain menerima called up. Ia satu pertanda baik dari kelab kami.

“Saya berasa bersyukur sebagai jurulatih lokal Malaysia dan satu-satunya dari Asia Tenggara mampu merubah mentaliti walaupun tidak sepenuhnya.

“Pemain tempatan di Mukthijoddha mula mendapat perhatian untuk pasukan kebangsaan dan menerima tawaran lumayan serta kontrak dari kelab yang miliki kewangan besar,” katanya lagi.