MENDAPAT semula mandat sebagai kapten pasukan hoki kebangsaan, bukan keutamaan yang dicari, sebaliknya Muhammad Marhan Jalil lebih teruja dapat kembali bersama pasukan, menggalas cabaran ke Piala Dunia di Bhubaneswar-Rourkela, India, bulan depan.
Tonggak pertahanan hoki negara itu berkata, peluang menyertai semula Speedy Tigers amat berharga, kerana dia akan membuat penampilan ketiga di Piala Dunia.
Pada penampilan ketiga kali ini, Marhan berharap pasukan diketuainya mampu beraksi dengan baik sekali gus merealisasikan sasaran yang diletakkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) iaitu layak ke suku akhir.
“Saya teruja untuk beraksi kembali bersama pasukan selepas mengalami kecederaan sebelum ini. Bagi saya ia satu pencapaian yang terbaik boleh beraksi tiga kali di Piala Dunia.
“Bagaimanapun untuk Piala Dunia kali ini, tanggungjawab lebih besar saya galas kerana dilantik sebagai kapten pasukan. Bila jadi kapten ini bukan mudah tugasnya kerana banyak kerja yang perlu dilakukan. Saya harap mampu untuk memimpin pasukan mendapatkan keputusan yang terbaik di Piala Dunia nanti,” katanya.
Marhan yang memiliki 278 kaps, menggalas semula tugas sebagai kapten selepas pemain pertahanan itu patah jari kaki kanan ketika aksi persahabatan menentang Perancis pada siri Jelajah Eropah, Oktober lalu sekali gus terlepas aksi Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara sebelum ini.
Marhan pernah bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia 2014 dan 2018.
Selain Marhan turut dipanggil semula memperkuat skuad kebangsaan ialah Muhammad Shahril Saabah sekali gus menambah kekuatan Speedy Tigers untuk tugasan di Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung 13 Januari hingga 29 Januari depan.
Marhan mengakui, kehadiran beberapa pemain muda dalam skuad kali ini dilihat sangat sesuai dengan corak permainan pantas hoki moden yang kerap dimainkan ketika ini.
“Kalau kita lihat skuad kebangsaan kali ini, kita bukan sahaja ada pemain berpengalaman tetapi ada pemain-pemain muda yang berbakat.
“Pemain muda yang dipanggil ini rata-ratanya laju dan kena dengan taktikal hoki sekarang yang pantas dan rancak.
“Jadi saya yakin gabungan pemain muda dan berpengalaman ini mampu untuk menggalas tugas skuad negara dengan sebaiknya bagi mencapai keputusan positif di kejohanan berkenaan.”
Malaysia layak ke Piala Dunia selepas muncul naib juara Piala Asia dan berada di ranking ke-11 dunia.
Berada dalam kumpulan C, Speedy Tigers akan membuka saingan menentang pasukan nombor tiga dunia, Belanda pada 14 Januari, disusuli menentang Chile pada 16 Januari, perlawanan yang akan berlangsung di Rourkela, sebelum menutup aksi kumpulan menentang New Zealand pada 19 Januari di Bhubaneswar.
Berdasarkan format kejohanan, juara kumpulan akan terus ke suku akhir manakala di tempat kedua dan ketiga akan bersaing pada pertarungan silang dengan pasukan kedua dan ketiga Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) dalam pusingan kalah mati dalam memburu slot ke suku akhir.