KETUA pasukan Oman, Mohammad Al Musallami sedar akan kepentingan untuk meraih tiga mata penuh ketika bertemu Malaysia dalam aksi ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada Khamis.

Al Mussalami juga mendedahkan mereka hanya mempunyai tempoh latihan yang pendek di bawah kendalian jurulatih baharu, Silhavy Jaroslav namun dia dan rakan sepasukan sangat bersemangat untuk mengikut arahan jurulatih.

“Kami perlu mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini ianya perlawanan yang cukup penting dan kami sudah bersedia untuk berhadapan Malaysia serta kami semua bertanggungjawab ke atas apa sahaja keputusan perlawanan.

Al Musallami (kanan) mahu pemain bertanggungjawab akan perlawanan menentang Malaysia

“Tempoh masa latihan begitu singkat untuk jurulatih kerana dia baru hadir di sini dan kami sebagai pemain akan cuba untuk memahami cara latihan dan taktikal yang diterapkan olehnya meskipun hanya lapan sesi latihan dapat dilangsungkan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Muscat.

Al Musallami juga berharap agar para penyokong dapat memenuhi stadium yang diberikan kemasukan percuma bagi menjadi pemain ke-12 bagi memberikan dia dan rakan-rakan sepasukannya lebih semangat untuk menumpaskan Malaysia.

Pemain-pemain Oman ketika sesi latihan rasmi

“Para penyokong tidak perlu dipujuk untuk hadir ke stadium kerana mereka sedar tanggungjawab mereka sebagai penyokong dan kami akan berasa lebih bersemangat jika bermain dalam keadaan stadium yang penuh,” jelasnya.

Pemain pertahanan berusia 33 tahun itu cukup berpengalaman dengan 103 kaps bersama skuad kebangsaan Oman dan memenangi Piala AFC 2022 ketika mewakili Al Seeb menewaskan Kuala Lumpur City FC pada aksi final.